KUALA LUMPUR – Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mendakwa talian telefon pasukan `Urgent Arrest May Day’ organisasi itu digodam pihak tertentu semasa perhimpunan membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berlangsung di ibu negara semalam.
Suaram dalam satu kenyataan media mendakwa, perbuatan itu menyebabkan pasukan tersebut tidak dapat menjalankan tugas mengkoordinasikan khidmat peguam untuk sesiapa yang ditahan pihak polis semasa perhimpunan berlangsung.
“Sejak pagi 1 Mei, anggota pasukan kami tidak henti-henti menerima panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) orang ramai selepas mereka menerima SMS kecemasan palsu supaya menghubungi `Urgent Arrest May Day’ dengan segera.
“Dianggarkan ratusan SMS dan ribuan panggilan telefon telah diterima sehinggakan anggota pasukan kami terpaksa mematikan telefon bimbit mereka pada hari perhimpunan semalam,” dakwa kenyataan itu hari ini.
Suaram mendakwa perbuatan pihak tidak bertanggungjawab itu berniat menghalang tugas pasukan berkenaan untuk memberi khidmat peguam untuk sesiapa yang ditahan pihak polis.
“Tindakan ini satu cara baharu pihak tidak bertanggungjawab mengganggu amalan kebebasan berhimpun rakyat yang berniat jahat dan mala fide.
“Ia menafikan hak peserta diwakili peguam ketika ditahan dan disiasat polis. Ini seterusnya mendedahkan peserta kepada risiko penahanan tidak sah,” dakwa kenyataan itu.
Suaram turut mendakwa pihak tidak bertanggungjawab terbabit berkemungkinan mendapatkan nombor telefon persendirian orang awam daripada pangkalan data syarikat telekomunikasi untuk tujuan itu.
Justeru, Suaram mengutuk keras tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu kerana didakwa menggunakan data peribadi orang awam secara tidak sah dan salah.
“Kami menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) membuat siasatan menyeluruh dalam masa 48 jam,” kata kenyataan itu. – SiakapKeli.com
0 comments:
Post a Comment