KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dijangka akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini esok berikutan penghasilan video klip kontroversi, Onederful Malaysia sempena Tahun Baru Cina yang sebelum ini dikecam pelbagai pihak.
Beliau akan didakwa di mahkamah bawah Akta Hasutan, lapor portal Malaysiakini yang mengesahkan perkara tersebut melalui peguam pemimpin DAP itu.
Teresa sebelum ini mencetuskan polemik apabila menyiarkan video bertajuk ‘Onederful Malaysia’ yang dianggap menghina orang Melayu kerana menggunakan skrip “Malay Sei lah” (Matilah Melayu).
Pemimpin DAP itu bagaimanapun menegaskan, beliau sebenarnya menyebut perkataan “’Ma-lai-sai-lei-ah’ yang didakwanya bermaksud “kuda datang dengan hebat” sambil merujuk Tahun Kuda.
Beberapa NGO sebelum ini mendakwa perkataan tersebut “memberi makna yang jahat” kerana walaupun Teresa mengatakan ungkapan itu ialah ‘ma-lai-sai-lei-ah’, namun cara pemimpin itu menyebut dan mengintonasikan ayat itu seolah-olah menyampaikan mesej berbeza.
Mereka mendakwa, walaupun boleh menyebut ‘Ma-lai-sai-lei-ah’ secara terus, Teresa sengaja memanjangkan ungkapan ‘Sei’ untuk memberi tafsiran berbeza iaitu ‘Malay Sei lah’ (matilah Melayu).
Selain itu, salah satu daripada watak dalam video itu bernama Mrs Jit seorang wanita yang gemarkan beg tangan mewah dan batu permata lakonan Lim Ching Miau (kanan).
Watak Mrs Jit dianggap sebagai parodi terhadap isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Ching Miau bagaimanapun sebelum ini menafikan melakonkan watak Rosmah, sebaliknya mendakwa meniru gaya pelakon veteran Hong Kong, Lydia Shum.
Teresa bagaimanapun tidak mahu berterus terang sama ada watak tersebut sememangnya merujuk kepada Rosmah, sebaliknya sekadar menyerahkan tafsiran itu kepada penonton.
“Sehingga sekarang, mereka (termasuk Rosmah) tidak kata apa-apa bukan? Jadi, lebih baik saya tak kata apa-apa. Saya ambil pendirian, kalau kamu kata begitu, begitulah,” kata Teresa. – New Malaysian Post
BERITA LANJUT AKAN MENYUSUL
0 comments:
Post a Comment