HASAN (kanan) menunjukkan harga barang kawalan.
Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) semalam, mengumumkan harga maksimum borong dan runcit bagi 18 barang yang dikawal harga sempena Ramadan dan menjelang Aidilfitri.
Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, harga mengikut Skim Kawalan Harga Musim Perayaan itu ditetapkan selama 17 hari bermula 20 Julai hingga 5 Ogos depan membabitkan 89 daerah di Semenanjung, 32 daerah di Sarawak, 27 daerah di Sabah dan satu daerah di Wilayah Persekutuan.
Katanya, kawalan itu membabitkan ayam hidup (RM5.80 sekilogram), standard (RM7) dan super (RM7.70); daging lembu tempatan (RM24) dan daging kerbau import (RM13); telur ayam Gred A (RM0.34 sebiji), B (RM0.33) dan C (RM0.32), cili merah (RM9), tomato (RM3.50), kelapa biji (RM1.50 sebiji) dan parut (RM6 sekilogram), bawah merah kecil (RM4), bawang besar import (RM1.50), bawang putih (RM4) dan ubi kentang (RM2) yang diimport dari China dan ikan kembung termasuk ikan mabung (RM10).
“Terdapat penurunan beberapa barang kawalan dalam skim tahun ini iaitu harga maksimum runcit cili merah ditetapkan RM11 sekilogram berbanding RM14 tahun lalu berikutan bekalan yang mencukupi di samping harga stabil di pasaran semasa.
“Harga maksimum runcit pula seperti ayam hidup, standard dan super; daging kerbau import; telur ayam Gred A, B dan C, tomato, kelapa biji dan parut, bawah merah kecil, bawang besar import, bawang putih dan ubi kentang yang diimport dari China dan ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara tujuh ekor hingga 10 ekor sekilogram) dikekalkan di Semenanjung mengikut harga tahun lalu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan KPDNKK di Sasana Kijang Bank Negara, dekat sini, semalam.
Katanya, daging lembu tempatan pula ditentukan lebih tinggi iaitu RM24 sekilogram (borong) dan RM26 (runcit) sedikit atas faktor pasaran lembu hidup mengalami kenaikan harga akibat kesan peningkatan permintaan lembu hidup oleh beberapa negara, kenaikan kos pengeluaran dan pengangkutan serta kekurangan bekalan dari negara pengeluar seperti Australia dan Thailand akibat perubatan cuaca.
“Ini antara usaha kita supaya pengguna dapat membeli barangan musim perayaan pada harga berpatutan, selain langkah kerajaan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat terutama ketika menyambut perayaan,” katanya, semalam.
Hasan berkata, peniaga diwajibkan menjual semua barangan harga terkawal itu tidak melebihi harga maksimum ditetapkan kerajaan dan wajib meletakkan tanda harga khas merah jambu.
Beliau turut memberi jaminan barangan terkawal lain seperti minyak masak, gula dan tepung, mencukupi menjelang Aidilfitri tahun ini.
“Kita menetapkan harga maksimum ini berdasarkan maklumat dari pemantauan harga di seluruh negara sejak Februari hingga Jun ini dan juga pungutan harga yang ditetapkan secara mingguan oleh KPDNKK.
“Selain itu, pendapat dan pandangan daripada pelbagai agensi kerajaan berkaitan iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Pertanian Malaysia, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan perbincangan dengan pengeluar, pengimport, pembekal serta pemborong,” katanya.
Hasan berkata, bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga pada musim perayaan itu, seramai 1,800 pegawai penguat kuasa KPDNKK dan 800 pemantau harga akan memantau harga barangan terkawal di seluruh negara.
“Pemantauan dilakukan 24 jam sepanjang tempoh penguatkuasaan skim harga barang kawalan itu.
Kami juga minta pengguna membuat aduan sekiranya berlaku kenaikan harga barang pada musim perayaan itu nanti,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya ada dalam kalangan peniaga yang ingkar dengan harga ditetapkan itu, mereka boleh didakwa di mahkamah mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Jabatan Peguam Negara memaklumkan peniaga yang menaikkan harga barang kawalan sesuka hati tidak lagi dikenakan kompaun sebaliknya didakwa di mahkamah,” katanya.
Sumber - myMetro
0 comments:
Post a Comment