Kuala Lumpur: Sejumlah RM130 juta yang bakal dibelanjakan Lembaga Tabung Haji (TH) pada tahun ini adalah subsidi tertinggi ditanggung kerajaan buat setiap jemaah haji bagi menyempurnakan ibadat itu Oktober depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, TH masih mengekalkan kos mengerjakan haji pada kadar RM9,980 seorang tahun ini biarpun kos untuk tujuan itu sudah meningkat kepada RM16,155 berbanding RM15,555 tahun lalu.
Jumlah itu secara tidak langsung memperlihatkan sebanyak RM6,175 ditanggung kerajaan bagi seorang jemaah berbanding hanya RM5,755 pada 2013.
“Seperti mana dinyatakan Perdana Menteri baru-baru ini, ini adalah subsidi tertinggi ditanggung kerajaan untuk seorang jemaah dan ia akan dinikmati seramai 22,320 jemaah Malaysia yang dibenarkan menunaikan haji oleh kerajaan Arab Saudi untuk 2014.
“Peningkatan kos mengerjakan haji dipengaruhi oleh kos pengurusan haji kendalian TH khususnya penerbangan, penginapan, makanan serta pengangkutan untuk jemaah yang meningkat saban tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penghargaan Sahabat Korporat TH di Jalan Tun Razak, di sini, semalam.
Hadir sama Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Ismee Ismail.
Sementara itu, Abdul Azeez berkata, jemaah pertama musim haji tahun ini dijadualkan berlepas pada 27 Ogos depan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Kita menjangkakan lebih 60 penerbangan dari pelbagai lokasi termasuk Alor Setar (Kedah), Senai (Johor), Kuala Terengganu (Terengganu) dan Kota Kinabalu (Sabah) sehingga 27 September,” katanya.
Pada majlis itu, sebanyak 41 sahabat korporat TH memberi sumbangan dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan jemaah haji antaranya daripada Yayasan FELDA, Maybank Islamic Berhad dan Lembaga Zakat Selangor.
Sumber - myMetro
0 comments:
Post a Comment