KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sutinah Sutan berhasrat melahirkan sebuah buku bagi mendokumentasikan segala kemahirannya setelah 34 tahun berkhidmat.
Menurutnya hampir tiga setengah abad yang lalu dia telah melalui pelbagai pahit maung serta cabaran dalam merealisasikan tanggungjawabnya sebagai anggota badan beruniform di SPRM.
“Sudah banyak ilmu dan pengalaman melalui pembelajaran dengan ketua saya dan juga melalui pengalaman bekerja yang telah saya lalui, saya rasa ilmu ini perlu dibukukan agar pegawai di SPRM dapat menjadikan buku ini sebagai bahan rujukkan,” katanya kepada Bernama sejurus selesai majlis Paluan Berundur sempena persaraan wajibnya yang diadakan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed serta penggantinya Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Pesuruhjaya Datuk Mustafar Ali.
Menurutnya selama 34 tahun dia telah menyaksikan banyak perubahan positif yang berlaku di dalam SPRM dan ia memberi pengalaman yang menarik untuk dikongs
bersama.
“Biar mereka yang membacanya menghargainya dan memahami peranan SPRM khasnya dan kerajaan amnya di dalam melaksanakan program-program pencegahan rasuah di negara ini,” katanya.
Walau bagaimanapun Sutinah memberitahu penerbitan buku itu masih di peringkat awal dan buat masa ini dia juga belum mempunyai tajuk yang sesuai untuk bukunya itu.
“Sekarang ini saya masih memikirkan apa pendekatan yang hendak dibawa di dalam buku ini sama ada hendak dijual atau sebaliknya saya juga belum memikirkan perkara tersebut,”katanya.
Dalam majlis itu, Sutinah turut dikurniakan anugerah Tokoh Serikandi Terbilang SPRM atas jasanya mencurahkan khidmat bakti selama 34 tahun di SPRM.
Beliau akan mula bersara wajib mulai 15 Jun ini manakala Datuk Mustafar akan memulakan tugas baharu beliau mulai Isnin ini.
Sumber: Bernama
0 comments:
Post a Comment