WAKIL Jabatan Kerja Sosial Hospital Raja Perempuan Zainab II
menyampaikan sumbangan kepada Saiful.
Rantau Panjang: Kisah remaja orang kurang upaya (OKU) di Kampung Kuin Merah, di sini, yang kakinya terpaksa dirantai sejak empat tahun lalu, menarik perhatian ramai pihak untuk menghulurkan bantuan.
Kakaknya, Rohani Abdul Rahman, 30, yang gembira dengan perhatian orang ramai terhadap keadaan adiknya, Muhamad Saiful Riduan, 19, berkata sejak kisah adiknya itu tersiar di akhbar, pelbagai pihak tampil mahu membantu Muhamad Saiful.
Rabu lalu, Harian Metro menyiarkan kisah Muhamad Saiful yang mengalami masalah sindrom Down, terpaksa dirantai keluarga bagi mengelak dia merayau serta membahayakan nyawa sendiri.
Dia sudah beberapa kali keluar dari semak di tepi jalan sebaik melihat lori atau treler di jalan raya sebelum merebahkan dirinya di atas jalan.
Rohani berkata, mereka dikunjungi wakil Jabatan Kerja Sosial Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi mendapatkan persetujuannya untuk membenarkan Muhamad Saiful Riduan dihantar ke sekolah khas di Johor.
Katanya, dia akan mempertimbangkan tawaran berkenaan, namun berat hati untuk melepaskan adiknya itu.
“Saya masih dalam dilema untuk melepaskan dia tinggal berjauhan daripada kami sekeluarga kerana selama ini tidak pernah berpisah.
“Berat hati melepaskannya, namun saya tidak boleh mengetepikan haknya mendapatkan pendidikan, sekurang-kurangnya membolehkan dia mengurus diri sendiri.
“Pihak hospital memberitahu adik bukan pesakit mental, tetapi terencat akal sejak kecil dan rawatan khas sememangnya disediakan bagi membantu pesakit seperti dia“ katanya.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Mas Hulwati Mohamad berkata, pihaknya bersetuju memberikan kad OKU kepada remaja terbabit selain bantuan bulanan RM150.
“Sebagai pemegang status OKU dan ketidakupayaan melakukan kerja, remaja itu layak menerima bantuan RM150 daripada JKM yang akan disalurkan segera,” katanya.
Sumber - myMetro
0 comments:
Post a Comment