Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, June 13, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Sebanyak 255,983 rakyat Malaysia berikrar sebagai penderma organ dari tahun 1997 sehingga 31 Mei tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ Tan Sri Lee Lam Thye.

Lam Thye berkata daripada jumlah itu 128,212 individu ataupun 50.09 peratus terdiri daripada kaum Cina, India (60,057 atau 23.46 peratus), Melayu (58,846 atau 22.99 peratus) manakala lain-lain kaum (8,868 atau 3.47 peratus).

“Ia juga menunjukkan peningkatan 8,399 pengikrar penderma organ pada tahun ini berbanding tahun lepas,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Pengurus Pusat Sumber Transplan Nasional Datin Dr Fadhilah Zowyah Lela Yasmin Mansor.

Katanya walaupun terdapat peningkatan dari segi jumlah pengikrar penderma organ tahun ini, jumlah itu hanya 0.88 peratus daripada keseluruhan rakyat di negara ini.

Lam Thye berkata bilangan pesakit yang memerlukan pemindahan buah pinggang, hati, jantung dan paru-paru adalah 18,503 orang.

Berdasarkan tinjauan mobiliti yang dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2006, sebanyak 39.3 peratus rakyat Malaysia berasa takut untuk menderma organ selepas kematian.

“Sebanyak 21.4 peratus daripada mereka mengalami faktor halangan agama masing-masing, 6.3 peratus jenazah terseksa selepas kematian, 2.9 peratus halangan keluarga, 2.9 peratus tidak tahu ke mana untuk mendaftar ikrar derma organ dan 1.2 peratus atas faktor kesihatan,” katanya.

Lam Thye berkata pihaknya masih memerlukan lebih banyak sokongan daripada badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan belia dan agensi kerajaan untuk membantu menyampaikan maklumat berkenaan pendermaan organ.

“Walaupun kami menjalankan pelbagai kempen untuk memberi kesedaran itu, masih ramai yang tidak memahami sepenuhnya tentang pendermaan organ dan jumlah pengikrarnya masih rendah,” katanya.

Sebelum itu Lee menyampaikan sijil penghargaan kepada M. Ramesh, 38, dari Johor Baharu yang mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records sebagai sukarelawan yang berjaya mendapatkan 595 orang awam menjadi pengikrar penderma organ dalam masa dua hari.

Menurut Ramesh, beliau bersama sembilan sukarelawan yang terdiri daripada anggota keluarga dan rakan-rakannya telah mendapat jumlah pengikrar penderma organ pada 7 dan 8 Jun lepas sempena Global Indian Festival yang berlangsung di Midvalley Megamall.

“Saya menyediakan petak khas pendaftaran pengikrar penderma organ ketika Global Indian Festival itu dan sedaya upaya untuk menerangkan kepada orang ramai tentang pentingnya pendermaan organ kepada pesakit yang memerlukan.

“Kebanyakan daripada mereka bersetuju apabila diberi penerangan mengenai pendermaan organ dan ternyata ramai masyarakat yang kurang pemahaman tentangnya,” katanya.

Sementara itu, Dr Fadhilah berkata pihaknya sedang mengumpul sukarelawan untuk menyertai ‘Kempen Jalanan 1 Ikrar Sejuta Harapan’ bagi memberi penerangan kepada masyarakat umum tentang pendermaan organ.

“Para sukarelawan ini akan bertindak mengedarkan risalah dan borang ikrar pendermaan organ kepada orang ramai dan menyampaikan maklumat kepada mereka, biasanya mereka akan gerak secara beramai-ramai ke restoran, pusat membeli-belah dan stesen pengangkutan awam,” katanya.

Katanya kempen itu dijangka diadakan pada Oktober sempena Hari Derma Organ Sedunia.

Sumber: Bernama

0 comments:

Post a Comment