Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, June 10, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berpuas hati dengan penjelasan pihak berkaitan berhubung projek pembinaan Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) di Tanjung Malim, Perak.

Projek itu sebelum ini dikategorikan sebagai kurang memuaskan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 siri 1 yang dibentangkan di Parlimen April lalu, berikutan pembinaannya tidak mengikut spesifikasi dan lambat mendapat sijil layak menduduki (CF).

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya telah memanggil Ketua Setiausaha Kedua Kementerian Pendidikan Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Zakaria Kasa, kontraktor projek iaitu Kumpulan Sakata Sdn Bhd dan Jabatan Kerja Raya Perak bagi memberi penjelasan berhubung isu itu.

“Hasil penjelasan yang diberikan pihak berkenaan, PAC amat berpuas hati terutama tentang penambahbaikan yang dilaksanakan ke atas struktur bangunan kampus itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Projek pembinaan Kampus KSAS itu menerima kelulusan peruntukan sebanyak RM459.58 juta bagi Pakej 1 yang meliputi kerja tanah dan infrastruktur berjumlah RM36.59 juta dan Pakej 2 meliputi kerja bangunan berjumlah RM422.99 juta.

Projek yang diberikan secara rundingan terus itu sepatutnya bermula pada Mei 2008 dan dijadual siap pada 2010, namun masalah kelulusan projek memaksa projek itu dimulakan lewat sebelum akhirnya siap pada Januari 2012.

Nur Jazlan berkata, walaupun disiapkan lewat dari tarikh asal namun projek itu menepati kos yang telah diperuntukkan kerajaan.

“Selepas siap pada tahun 2012, kampus itu telah mendapat Certificate of Partial Completion (CPC) dan seramai 5,000 pelajar telah mula mendiami kampus itu.

“Namun dalam tempoh itu terdapat sedikit masalah berlaku terhadap struktur bangunan dan sedang dibaik pulih oleh pihak kontraktor dan dijangka siap sepenuhnya dalam bulan ini dan seterusnya kampus itu dijangka akan diberikan Certificate of Completion and Compliance (CCC),” katanya.

Ditanya mengapa projek itu diberikan secara rundingan terus dan tidak secara tender terbuka, Nur Jazlan berkata, kerajaan boleh berbuat demikian sekiranya berpendapat sesuatu projek itu perlu disegerakan kerana proses tender terbuka biasanya mengambil masa yang lama.

“Dalam kes projek ini, memang ada ‘urgency’ kerana kampus utama UPSI tidak lagi mampu menampung pelajar yang kini berjumlah 28,000 pelajar dan kampus kedua ini amat perlu disiapkan segera bagi menampung jumlah pelajar yang meningkat,” katanya.

Sumber: Bernama

0 comments:

Post a Comment