Baghdad: Militan menawan sebuah pekan yang terletak sejam perjalanan dari Baghdad yang menempatkan empat lapangan gas asli semalam, kemenangan terbaharu pemberontak Sunnah yang sudah meraih sebahagian besar kawasan utara dan barat ibu negara Iraq.
Wakil presiden Iraq berkata, satu sesi Parlimen akan diadakan pada 1 Julai, langkah pertama dalam membentuk kerajaan baharu yang diharapkan komuniti antarabangsa lebih inklusif untuk menghadapi pemberontakan.
Serangan semalaman itu membabitkan kawasan Mansouriyat al-Jabal, lokasi operasi gas asli syarikat luar negara, demikian menurut pasukan keselamatan. Pertempuran mengancam memecahkan negara itu, dua setengah tahun selepas tamatnya pendudukan Amerika Syarikat.
Pemberontak, diterajui Negara Islam Iraq dan Levant (ISIL) turut membabitkan kumpulan Sunnah lain menyalahkan Perdana Menteri Nuri al-Maliki kerana meminggirkan Sunnah ketika lapan tahun berkuasa dan kini berusaha untuk kekal berkuasa.
Tiga bulan selepas pilihan raya, gesaan di Iraq dan di luar negara mahukan proses pembentukan kerajaan dimulakan, termasuk gesaan ulama terkemuka Syiah Ayatollah Ali al-Sistani.
Wakil presiden mengeluarkan perintah semalam, supaya sesi Parlimen 1 Julai diadakan, menurut televisyen kerajaan. Parlimen kemudian akan mempunyai tempoh 30 hari untuk menamakan presiden dan 15 hari untuk menamakan Perdana Menteri.
Gambar Hiasan
Sumber - Berita Harian
0 comments:
Post a Comment