ANTARA minyak masak yang menimbulkan kontroversi kerana penggunaan yang berulang.
Kuala Lumpur: Lebih 90 peratus pengusaha premis makanan di negara ini dikesan menggunakan minyak masak secara berulang kali selain memilih minyak masak paket yang lebih murah dan dikitar semula.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya memang menerima aduan mengenai kegiatan itu dan sedang bekerjasama dengan agensi penyiasat untuk meneliti sejauh mana kebenarannya.
“Kita boleh tengok sendiri sebahagian besar peniaga makanan di pasar malam misalnya, mereka akan menggunakan minyak masak yang sama secara berulang kali untuk menggoreng makanan yang dijual.
“Bagaimanapun, kami juga dimaklumkan kewujudan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan lesen dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk mengutip minyak terpakai di premis makanan sebelum menjualnya kepada industri,” katanya ketika dihubungi.
Nadzim berkata, minyak masak berkenaan sepatutnya digunakan untuk industri biodiesel termasuk bagi penghasilan lilin, sabun dan sebagainya namun disalah guna dengan mengitar semula untuk dijadikan minyak terpakai.
“Apa yang turut merisaukan adalah kualiti minyak itu rendah jadi ia boleh membawa kepada kemunculan penyakit seperti jantung, hati dan kanser,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pihak berkuasa perlu lebih serius dalam menangani isu membabitkan minyak masak kitar semula yang diproses menjadi minyak masak baru jika benar ia wujud di negara ini.
Menurutnya, FOMCA juga pernah menerima beberapa aduan berhubung kewujudan kegiatan ini sebelum merujuk kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan MPOB.
“KKM menafikannya ekoran tiada bukti kukuh sementara MPOB langsung tidak memberikan sebarang maklum balas.
“Tetapi jika kegiatan ini benar-benar wujud dan membabitkan minyak yang dikutip di premis makanan bukan Islam, ia memang serius kerana membabitkan makanan yang dimakan umat Islam,” katanya.
Sumber - myMetro
0 comments:
Post a Comment