ALOR SETAR – Seorang petani warga Thailand maut tertikam diri sendiri di rumah sewanya di Pekan Tanah Merah, Pendang, dekat sini, kelmarin.
Difahamkan, mangsa, Amporn Bunmanati, 34, baru sahaja mendiami rumah berkenaan seorang diri sejak tiga bulan lepas
Majikannya, Nazri Abdul Rahman, 50, berkata, mangsa tinggal di sini kerana mengambil upah sebagai pesawah, manakala isterinya tinggal di Padang Besar, Perlis.
“Saya mengetahui berita mengenai kejadian berkenaan selepas menerima panggilan telefon kira-kira jam 12 tengah malam daripada isteri mangsa, Jirawan, 45.
“Sebaik tiba di sana didapati mangsa tertiarap dalam keadaan berdarah atas lantai. Bagaimanapun, dia masih hidup dan bercakap dalam bahasa sukar difahami,” katanya.
Katanya, mangsa masih bernafas dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, namun meninggal lebih kurang dua jam kemudian.
Nazri berkata, dia menemui Amporn kali terakhir pada jam 6 petang, hari sama namun mangsa kelihatan seperti biasa.
“Saya pernah melihat mangsa mengambil minuman keras, namun kali ini dia mengambil dalam kuantiti banyak berbanding kebiasaannya,” katanya.
Menurutnya, dia mendapati melalui rekod panggilan, mangsa ada menghubungi isterinya kira-kira jam 7.55 petang, namun gagal.
“Namun, isterinya memaklumkan kepada saya dia menerima panggilan telefon kira-kira jam 9 malam, memberitahu mengenai kejadian itu,” katanya.
Sementara itu, isterinya ketika ditemui di Bilik Forensik, dekat sini, tidak mampu berbual dalam Bahasa Inggeris ataupun Bahasa Melayu.
Bagaimanapun, mangsa dipercayai akan menjalani upacara pembakaran mayat di Watt Siam, Padang Pusing, Pendang, dekat sini.
Sumber: Sinar Online
0 comments:
Post a Comment