KUALA LUMPUR: Penyanyi Nurul Wahab tidak melihat kelainan budaya
antara beliau dengan bakal suami iaitu Eric Daniel Depp sebagai satu
halangan untuk mereka mengecap bahagia.
Nurul berkata, dia menerima Eric seorang warganegara Perancis kerana
ketulusan dan kriteria yang diinginkan daripada lelaki berusia 47 tahun
itu.
"Saya tidak meletakkan bangsa atau warna kulit dalam memilih seorang
lelaki sebagai calon suami tetapi memandang kepada ketulusan dan
ciri-ciri yang saya cari.
"Eric juga seorang yang faham mengenai budaya, agama Islam dan
sentiasa hormat budaya kita di Malaysia. Soal itu langsung tidak pernah
menjadi masalah kepada saya," ujarnya kepada mStar Online pada Rabu.
Nurul ditemui selepas melancarkan album mini terbarunya di sini.
Tambah Nurul, dia tidak perlu risau mengenai soal budaya atau
tanggungjawab bakal suaminya itu kerana sifat-sifat yang diinginkan
daripada seorang lelaki ada pada Eric.
Nurul memberitahu, pengalaman Eric selama 10 tahun tinggal di Asia
telah banyak mengajarnya mengenai budaya dan cara kehidupan masyarakat
di sini.
"Aspek budaya atau tanggungjawab tidak menjadi isu kerana apa yang
penting saya perlu memainkan peranan dalam soal kerohaniannya sebagai
mualaf.
"Tanggungjawab saya sebenarnya yang lebih besar dalam memastikan
bakal suami faham mengenai agama Islam dengan lebih baik," ujarnya.
Pasangan itu bakal bernikah pada 6 Jun depan di Duchess Palace dekat sini pada pukul 11 pagi.
Kira-kira 200 tetamu bakal dijemput pada hari bahagianya itu yang dibuat secara kecil-kecilan.
Dalam pada itu, Nurul memberitahu, Eric telah memeluk Islam sejak 13
Februari lalu dan tindakkannya itu telah meyakinkan bahawa lelaki
tersebut sesuai untuknya.
Nurul juga tidak pernah menyangka akan bertemu dengan Eric dan
seterusnya mengambil keputusan untuk berkahwin selepas lima tahun
menjanda.
"Saya telah mengenalinya pada September 2010 dan kami mula serius
pada Januari 2011. Sepanjang dua tahun pengenalan kami dia seorang
lelaki yang baik dan memahami diri saya dan sentiasa senang bersama
dengannya," katanya.
Sementara itu, ditanya kenapa dia sering mengelak apabila ditanya
mengenai lelaki sebelum ini, Nurul berkata, dia tidak mahu menjadikan
kehidupan peribadinya sebagai satu 'perniagaan' sepertimana dilakukan
sebelum ini.
Dia juga banyak belajar daripada pengalaman lalu dan tidak lagi
bersedia untuk berkongsi kisah peribadi melainkan perkara penting
seperti pengumuman perkahwinan.
"Cukuplah dulu selagi ada kisah dipaparkan dalam akhbar malah
hubungan peribadi itu menjadi perniagaan. Bukan mengelak tetapi saya
sudah banyak belajar daripada pengalaman lalu," katanya.
Bercerita lanjut mengenai bakal suaminya itu, Nurul berkata Eric
adalah seorang duda tetapi tidak mempunyai cahaya mata dan bekerja
sebagai konsultan dan jurulatih kesihatan.
Katanya, pihak media hanya akan mengenali Eric pada hari pernikahan
nanti kerana bakal suaminya itu merasakan dirinya bukanlah seorang
artis.
"Dia bukan sombong tetapi malu nak jumpa orang apatah lagi saya ni
seorang artis. Dia rasa tak sesuai untuk berada di sini," katanya.
Dalam perkembangan sama, Nurul memberitahu sebanyak enam individu
telah sudi untuk menaja perkahwinannya nanti iaitu Rizman Ruzaini, Bon
Zainal, Jakel, Zaha Weeding Planner, Deqsha dan Duchess Place.
Bagaimanapun dia tidak akan mengadakan sebarang majlis resepsi
sebaliknya keluarga pihak lelaki akan meraikan perkahwinan mereka dalam
sebuah majlis di Bali, Indonesia pada 14 Jun depan.
0 comments:
Post a Comment