PETALING JAYA: Aktres dan pengarah filem Oh Mak Kau (OMK),
Nurul Ain Nordin (Ain) menganggap penyebaran gambarnya dengan Syamsul
Yusof di Internet adalah perbuatan khianat pihak-pihak tertentu yang
tidak berpuas hati dengannya.
Ain, 24, yang juga penerbit filem itu berkata dakwaan mereka
mempunyai hubungan istimewa juga adalah tidak benar sebaliknya dia telah
mengenali Syamsul sejak menjalani latihan praktikal di Skop Production
beberapa tahun lalu.
“Sudah berulang kali saya memberikan penjelasan mengenai hubungan
kami namun saya sedar tidak mudah untuk meyakinkan orang untuk menerima
apa yang saya katakan.
“Hakikatnya, kami hanya kawan. Hubungan kami adalah atas dasar
profesional kerana dia banyak membantu membimbing saya di lokasi
penggambaran filem OMK dan tidak lebih daripada itu,” katanya ketika dihubungi mStar Online, baru-baru ini.
Sebelum ini beberapa keping gambar tersebar di Internet
memperlihatkan kemesraan mereka yang duduk berasingan daripada krew dan
pelakon lain ketika di lokasi penggambaran filem OMK.
Syamsul juga dikatakan sanggup menemani Ain di lokasi penggambaran
selama beberapa jam walaupun dia tidak terlibat dengan penggambaran.
Ain yang mula dikenali menerusi filem Suatu Malam Kubur Berasap (2011)
berkata, dia sempat berbincang dengan Syamsul mengenai dakwaan itu
sejak gambar-gambar mereka tersebar di Internet pada minggu lalu.
“Saya ada bercakap dengan Syamsul mengenai perkara ini. Saya mohon
agar isu ini tidak dibesar-besarkan kerana saya tidak mahu perkara
remeh-temeh begini menimbulkan perasaan kurang selesa kepada Syamsul,
bapanya Datuk Yusof dan mereka sekeluarga yang saya hormati.
“Apatah lagi dakwaan itu adalah tidak benar jadi saya bimbang ia akan
melukakan hati kekasih Syamsul pula,” ujarnya yang mengakui belum
mempunyai kekasih.
Ditanya adakah penyebaran gambar dan kontroversi hubungan cinta itu
sengaja dicetuskan sebagai promosi kepada filem pertama arahannya itu,
Ain berkata perkara itu tidak berasas kerana masih terlalu awal untuk
pihaknya melakukan promosi filem berkenaan.
“Dakwaan itu bukan strategi kami untuk mempromosikan OMK. Bagi
saya, masih terlalu awal untuk tujuan itu kerana filem ini baru tamat
penggambaran dan kini dalam proses suntingan dalam talian.
“Kalau semuanya lancar, ia mungkin akan ditayangkan pada hujung tahun
ini. Jadi, tak mungkinlah kami sengaja mengada-adakan kontroversi ini
untuk promosi pula," jelasnya.
OMK yang diterbitkan syarikat produksi Ain bersama beberapa
rakan kongsi iaitu Star Scope Production Sdn Bhd menjalani penggambaran
selama 23 hari.
Filem yang mengisahkan mengenai seorang wanita gengster lakonan Wan
Maimunah ini turut dibarisi antaranya oleh Didie Alias, Yank Kassim,
Abon dan Sepahtu.
0 comments:
Post a Comment