PENYANYI Kaka Azraff mengakui cuba untuk berdiri sendiri tanpa disamakan dengan identiti Ratu Rock Negara, Ella yang juga merupakan ibu saudaranya.
Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 24, berkata, ia bukan satu perkara yang mudah kerana dia dibesarkan dengan lagu-lagu wanita tersebut.
“Pertalian darah mungkin menyebabkan kami banyak persamaan sehinggakan sekarang masih lagi ada yang mengatakan cara saya bercakap atau menyanyi seperti Ella.
“Saya dibesarkan dengan lagu-lagu dia dan keluarga kami memang sangat mengidolakan dia, mungkin itu yang membuatkan saya sukar lari daripada bayangan dia,” katanya kepada mStar Online.
Tambah Kaka, dia mengambil keputusan untuk berdiri sendiri dan bernaung di bawah syarikat pengurusan Wirefame Entertainment sebagai satu cara untuknya membentuk imej tersendiri.
“Kalau saya mahu mungkin saya boleh sahaja duduk di bawah pengurusan Ella tapi saya sedar nanti saya lebih terikut-ikut sepertinya,” katanya.
Tambah Kaka, hampir dua tahun berada dalam industri seni, dia semakin matang dalam menentukan hala tujunya sebagai penyanyi.
Kaka yang baru sahaja melancarkan single duet terbaharu bersama Zizan Raja Lawak berjudul Infiniti Cinta mengakui selesa bekerjasama dengan Zizan.
Namun begitu Kaka menolak dakwaan dia ingin menumpang populariti pelawak tersebut dalam mencipta nama sebagai penyanyi.
“Lagu ini adalah kesinambungan lagu Bawaku Pergi dan saya dan Zizan memang sudah merancang untuk berduet bersama sekali lagi selepas single pertama itu mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.- mStar
0 comments:
Post a Comment