CAMERON HIGHLANDS – Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata unsur rasuah dalam bola sepak negara masih terkawal
Sehubungan itu katanya tidak ada sebab untuk pihak tertentu membuat analisis sebaliknya hanya berasaskan insiden terkini membabitkan skuad bola sepak Perak.
“Jangan terlalu cepat melenting dan cepat menuduh. Kita tunggu tindakan susulan daripada pihak berkuasa. Jika ada bukti kukuh kita akan buat tindakan lebih drastik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditanya sama ada bola sepak negara dicemari rasuah susulan dakwaan wujud elemen rasuah dan sabotaj dalam pasukan bola sepak Perak baru-baru ini.
Media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan itu dan telah memanggil beberapa individu termasuk jurulatih pasukan Mohd Azraai Khor Abdullah bagi memberi keterangan.
Siasatan itu susulan laporan yang dibuat oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) Khairul Azwan Harun yang mahu SPRM dan polis menyiasat kemungkinan berlaku rasuah dan sabotaj berikutan siri kekalahan pasukan itu dalam saingan Piala Malaysia yang menyaksikan mereka tersingkir pada peringkat kumpulan. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment