BENTONG – Umno yakin kaedah pengundian yang dibangun bagi pemilihan 2013 adalah yang terbaik dalam menjamin kelancaran serta ketelusan proses itu, kata Setiausaha Kerja parti berkenaan, Datuk Ab Rauf Yusoh.
“Kita yakin simulasi yang dijalankan dapat meyakinkan Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) dan juga parti bahawa kita dapat menepati sasaran.
“Ibu pejabat Umno dan JPU telah cukup bersedia untuk menjalankan pemilihan Umno yang terbesar dalam sejarah Umno sendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas Simulasi Pemilihan Umno 2013 selama tiga hari di Institut Latihan Memperkasa Umno (ILMU) di Janda Baik berakhir pada Ahad.
Umno bakal menggunakan sistem baru pada pemilihan barisan kepimpinan parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu, yang melibatkan 146,000 perwakilan.
Pengundian bagi pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri peringkat bahagian dan pusat akan berlangsung pada 12 Oktober ini manakala Majlis Tertinggi dan bahagianpada 19 Oktober.
Mengulas keputusan pemilihan, Ab Rauf berkata ia dijangka diketahui dalam tempoh 24 hingga 48 jam berdasarkan faktor jumlah perwakilan, logistik dan geografi lokasi pengundian.
“Contohnya pada simulasi semalam, untuk jawatan Majlis Tertinggi sahaja kitaperlukan empat hingga lima jam berdasarkan kepada 600 perwakilan.
“Justeru, jangka masa lebih panjang diperlukan sekiranya angka perwakilan lebih tinggi. Kita harap pada lewat tengah malam kita dapat selesaikan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno 2013, Tan Sri Tajol Rosli berkata, beliau berpuas hati dengan simulasi yang dijalankan.
“Nampaknya ia sukses dan hanya perlu sedikit pembaikan serta penyesuaian bagi menyesuaikannya di setiap bahagian yang jumlah perwakilannya berbeza.
“Saya berpuas hati dan kagum dengan semangat yang ditunjuk 1,400 peserta yang terlibat dalam simulasi, malah beratus (orang) menawarkan diri menjadi sukarelawan bagi membantu Lembaga Disiplin memantau unsur yang melanggar tata etika pemilihan,” katanya.
Tajol Rosli berharap proses kempen bagi pemilihan kali ini berlangsung dengan tertib dan teratur serta setiap yang terlibat sentiasa menjaga nama baik parti.
Beliau juga berkata, pihak media disyor menyiarkan senarai penuh calon yang bertanding selepas ia dimuktamad pada 7 Oktober untuk makluman umum, khususnyaperwakilan parti. – BERNAMA
Foto: The Star
0 comments:
Post a Comment