'LIPAS kudung Pahang', R Gopinathan sudah bersedia 200 peratus dan tekad merantai Kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi (Piya) pada malam final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, hujung minggu ini.
Gopinathan atau mesra dengan panggilan Gopi berkata, Piya perlu diberi perhatian khusus kerana pemain itu umpama ninja yang boleh menjelma di semua bahagian selain sering mengucar-kacirkan pertahanan lawan.
"Rantai Piya bukan tugas mudah. Apa pun, saya tidak akan biarkan dia kuasai bahagian tengah.
"Saya juga harap ketiadaan Obinna Nwaneri beri sedikit kelebihan buat Pahang," katanya.
Menurut Gopi, perlawanan akhir Ahad ini merupakan pentas final pertamanya dan ia bertambah manis jika Tok Gajah berjaya menjulang Piala Malaysia.
"Harap rezeki dan tuah juga memihak kepada Pahang selepas menempuh saingan penuh mencabar sebelum melangkah ke perlawanan akhir.
"Status underdog jelas tidak melemahkan semangat kami malah ia merangsang motivasi rakan sepasukan untuk mencipta sejarah baru buat bola sepak Pahang," kata pemain berasal dari Tanah Putih, Kuantan itu.
0 comments:
Post a Comment