MENTERI Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini secara sinis menyindir Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat kerana gagal menghasilkan manifesto yang mampu dilaksanakan mereka.
Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Mersing dari Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, Ahmad Zahid berkata janji pembangkang kepada rakyat umpama mengecat langit dan tidak berpijak di bumi nyata.
Dr Abd Latiff yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan ketika Ahmad Zahid menjawat portfolio Menteri Pertahanan, bertanyakan tentang manifesto pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu adakah pembangkang mampu melaksanakannya atau tidak.
Manifesto itu yang menyebut pembangkang akan mewujudkan sejuta peluang pekerjaan untuk warga Malaysia dengan cara mengurangkan sejuta pekerja asing yang ada pada ketika ini.
“Ianya tidak dapat dilaksanakan, hanya kira-kira 10 hingga 15 peratus janji yang telah dilontarkan pada pilihan raya umum 2008 dan 2013 dilaksanakan, janganlah buat janji baru,” katanya ketika sesi soal-jawab di Parlimen pada sidang Dewan Rakyat.
Ahmad Zahid turut menyifatkan manifesto pembangkang sebagai manifesto sampah.
“Jika gagal, ertinya, dengan izin, manifesto rubbish, apa yang penting buat manifesto berdasarkan realiti, dan apa yang dilakukan oleh kerajaan dapat memuaskan hati semua pihak termasuk pihak kerajaan dan pembangkang, yang penting rakyat,” kata Ahmad Zahid.
0 comments:
Post a Comment