Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, October 31, 2013

No Comment
Zarina Zainuddin

SEGELINTIR orang berpendapat, kecantikan sebenar lahir dari sifat dalaman dan ada beranggapan kecantikan itu rupa luaran seseorang wanita.

Kita sering melihat wanita yang sudah berkahwin, atau menginjak ke usia 40-an nampak lebih tua dari usia sebenar kerana penampilan dan bentuk tubuh badan yang berisi.

Namun tidak bagi sesiapa yang  mengenali pelakon manis, Zarina Zainuddin. Kepada sesiapa yang mengikuti perkembangannya, tentu perasan susuk tubuh genit milik wanita berkulit hitam manis ini tidak banyak berubah dengan waktu dia mula-mula melangkah dalam bidang seni 22 tahun lalu.

Dengan usia  sudah menginjak 43 tahun, kecantikan Zarina masih menyerlah. Tubuh ibu kepada Muhammad Razil Azrai,  Muhammad Raizal Azrai, 17,  Muhammad Naim Azrai, 10 dan Muhammad Adam Azrai, 7, ini persis anak dara.

Ternyata Zarina mampu mengekalkan kelangsingan dan kecantikan dimilikinya. Ikuti rahsia Zarina dalam menjaga kecantikan kulit dan kelangsingan tubuh.

Sebagai selebriti apakah pengertian cantik dan sihat bagi anda?

ZARINA : Bagi saya kecantikan bukan lahir dari luaran, tapi dalaman. Sebenarnya bila kita yakin, rajin menjaga diri, kemas, bersih dan boleh atur diri kita dengan baik, secara tidak langsung kita akan nampak cantik.
Selain itu, amat penting untuk kita menjaga pemakanan barulah kita akan sentiasa sihat dan cergas setiap hari.

Dalam usia mencecah 43 tahun, anda masih kelihatan cantik dan langsing, apa rahsianya?

ZARINA : Tidak ada rahsia khusus sebenarnya tetapi saya mengamalkan pemakanan sihat. Banyak minum air suam, dan makan jamu yang emak saya sediakan. Selain itu, kita perlulah sentiasa rasa yakin, tersenyum, barulah kita nampak cantik. Cantik itu tidak semestinya kerana solekan.

Selain jamu, adakah anda ada ambil sebarang produk penjagaan kulit?

ZARINA : Tentu sekali, saya ada juga pakai produk penjagaan kulit, krim siang, malam, dan pakai 'mask' dua kali seminggu untuk pastikan kulit sentiasa halus. Untuk badan termasuk kaki dan tangan pula, saya pakai losen sebelum tidur.

Bagaimanapun ada sesetengah selebriti gemar mengambil suntikan untuk menjaga kecantikan kulit, adakah anda juga sama?

ZARINA : Saya tidak ambil semua itu. Mungkin bagi mereka yang tua atau betul-betul dah berkedut, sesuai untuk ambil suntikan kurangkan kedut pada muka. Tapi bagi yang muda, saya rasa tidak sesuai, apatah lagi muka kita sebenarnya mempunyai seri dan kemanisan kurniaan Allah SWT. Jadi bila kita suntik, keaslian kecantikan kita atau seri itu akan hilang dan memang muka kita tidak lagi nampak asli. Senyuman pun kaku.

Ketika keluar, adakah anda gemar bersolek?

ZARINA : Bergantung pada keadaan, jika ada majlis, saya akan bersolek, jika tidak, saya akan pakai bedak dan lipstik sahaja. Biar berpada-pada kerana solek tebal sangat pun tak cantik.

Selain masih cantik, tubuh anda juga masih langsing, ada sebarang rahsia?

ZARINA : Sama seperti penjagaan kulit, saya juga tiada sebarang rahsia menjaga kelangsingan badan. Saya memang banyak makan jamu yang disediakan emak saya. Selain itu saya memang amalkan bangun seawal jam 6 pagi. Jadi kita akan sempat melakukan banyak aktiviti berfaedah, beriadah. Malah anak-anak juga saya galakkan bangun pagi, walaupun ketika cuti sekolah.

Bagaimana pula dengan rutin pemakanan anda?

ZARINA : Untuk pengetahuan semua, saya suka memasak dan makan, begitu juga dengan anak-anak. Saya suka masakan kampung seperti gulai lemak cili api, kari, asam pedas, dan saya makan nasi setiap hari. Cuma, saya hadkan makan nasi sekali sehari dan saya tidak ambil makanan berat pada sebelah malam. Selain itu, saya suka buat pastri dan kek, tapi ada had memakannya. Saya banyak minum 'natural tea' untuk mencuci perut dan kurangkan makanan berminyak.

Pernahkah anda mengalami masalah berat badan dan bagaimana anda mengatasinya?

ZARINA : Pernah ketika saya mengandung, terutama ketika mengandung anak kembar. Berat saya naik hingga 32 kilogram, tapi saya kawal pemakanan, berbengkung sehingga mendapat berat badan asal. Sekarang pun bila makan banyak, berat badan akan naik sikit. Biasanya saya makan jamu, atau pun saya akan berpuasa sunat untuk mengurangkan berat.

Sehingga kini, adakah anda masih amalkan diet?

ZARINA : Tidak....Tetapi mengikut masa tertentu. Sebenarnya perempuan kurus sangat tak cantik, gemuk sangat pun tak cantik. Maksud saya bila terlalu kurus, kulit kita akan nampak berkedut dan bila gemuk, nampak lebihan lemak. Jadi sebagai wanita, kita kena pandai jaga badan.

Adakah anda gemar mengunjungi spa, salun atau pusat rawatan kecantikan?

ZARINA : Tentu sekali, jika ada masa saya akan pergi mengurut badan, kepala, buat rawatan kuku, buat rawatan rambut. Tetapi tidak kerap.

Berapa yang anda peruntukan untuk menjaga kecantikan dan kelangsingan?

ZARINA : Secara jujur sebagai wanita, dari hujung rambut sampai hujung kaki memerlukan duit. Saya tidak pernah letak satu jumlah untuk saya belanjakan setiap bulan. Apa yang penting kita perlu pandai berbelanja dan menyimpan serta tidak membazir.

Tekanan dan manusia sememangnya tidak dapat dipisahkan, bagaimana cara anda menghindar tekanan?

ZARINA : Saya akan kembali kepada Pencipta, solat, mengadu pada-Nya, Insya - ALLAH, hati lebih tenang.

Apa perkembangan terkini anda?

ZARINA : Saya sedang sibuk menjalani penggambaran Dendam Lima Beradik untuk siaran Astro Mustika HD, selain itu saya baru selesai menjalani penggambaran Janji Adam yang masih disiarkan di TV3 serta terlibat dalam beberapa drama dan program.

0 comments:

Post a Comment