KUALA PILAH – Dua kakitangan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang ditugaskan mengawal seekor ular sawa, terpaksa terjun dari kenderaan mereka apabila reptilia yang diikat kepala dan ekornya tiba-tiba mengganas.
Ular diikat di belakang
Ular sawa rendam sepanjang 6.5 meter(m) dan seberat 120 kilogram(kg) yang ditangkap di FELDA Kepis dekat sini, kelmarin, itu terpaksa diikat dan diletakkan di bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda kerana terlalu besar untuk dimasuk ke dalam guni.
Sebaik saja kenderaan itu bergerak, ular yang sebelum itu ‘diam’ kekenyangan selepas dipercayai menelan seekor babi hutan bertindak agresif hingga bangku panjang kenderaan itu tercabut.
Dua kakitangan terbabit terpaksa melompat dari kenderaan itu untuk menyelamatkan diri.
Sebaik kenderaan itu berhenti, mereka dibantu dua kakitangan lain mengikat kepala ular itu dengan tali bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Tarik sejauh 100m
Ketua operasi JPAM, Sarjan Majeran Lop, 52, berkata empat kakitangan yang tiba di penempatan itu pada jam 12.15 tengah hari, sukar mengangkat ular terbabit.
“Disebabkan kenderaan JPAM tidak boleh dibawa hingga ke tempat ular itu ditemui, kami dengan bantuan beberapa peneroka terpaksa mengikat tali pada reptilia itu dan menariknya sejauh 100m,” katanya.
Katanya, ular terbabit akan diserahkan kepada Taman Ular Sawa Ulu Bendul dekat sini.
Sementara itu, seorang peneroka, Leman Jamal, 64, berkata beliau terkejut menemui ular sawa itu dalam parit ketika membersihkan kebun untuk tanaman semula kelapa sawit, pada jam 12 tengah hari.
“Saya terperanjat melihat ular sawa itu dalam keadaan bergulung di paya dekat kebun, lalu segera memanggil penyelia projek tanam semula, Hafiz Mahmud, yang kemudian menghubungi JPAM,” katanya.
Katanya, pada tahun lalu reptilia sama yang panjangnya hampir 7.4 meter dan berat 140 kilogram, ditangkap di FELDA berkenaan. – Berita Harian
0 comments:
Post a Comment