SALURAN radio Suria FM mencatatkan 2.32 juta pendengar dan menduduki tempat keempat bagi stesen berbahasa Malaysia di negara ini selepas Era FM, Sinar FM dan Hot FM menerusi bancian dibuat Nielsen.
Suria FM dalam satu kenyataannya kepada mStar Online di sini pada Selasa berkata, kaji selidik oleh agensi penarafan itu dilakukan dari tempoh 2 September sehingga 27 September 2013.
Berdasarkan kaji selidik itu, pendengar Suria FM secara digital telah meningkat sebanyak 160 peratus dari 176,000 orang kepada 457,000 orang pada tahun ini.
Selain itu, Suria FM juga turut mencatatkan kenaikan sebanyak 12 peratus pendengar berpendapatan isi rumah di antara RM4,000 hingga RM5,000.
Stesen itu juga menerima peningkatan di kalangan kumpulan pekerja kolar putih sebanyak 13 peratus.
Kenyataan itu menyebut, pendengar eksklusif yang merupakan peminat setia Suria FM telah meningkat sebanyak 19 peratus menjadi 457,000 orang dari setahun ke setahun.
Bagi kawasan Selatan yang meliputi negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, Suria FM telah mencatatkan kenaikan jumlah pendengar sebanyak 61,000 orang menjadi 461,000 orang pada tahun ini.
Di samping itu, sehingga September 2013, laman web www.suriafm.com.my telah mencatatkan peningkatan sebanyak 52,513 orang apabila 151,441 orang telah melayarinya berbanding 98,928 orang pada Jun 2013.
Pendengar juga telah meluangkan masa selama 8 jam 52 minit untuk mendengarkan Suria FM dalam masa seminggu.
Segmen Suria Cinta, kendalian deejay Lin yang ke udara dari 10 malam hingga 2 pagi mencatatkan jumlah masa mendengar tertinggi di kalangan semua stesen radio berbahasa Malaysia iaitu sebanyak 3 jam 28 minit. – mStar
0 comments:
Post a Comment