Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, October 31, 2013

No Comment
Yusof Harun

BAGI sesebuah negeri seperti Selangor, menteri besarnya tentulah mempunyai kaliber lebih dari biasa. Ini kerana bagi memastikan negeri terkaya itu ditadbir dengan baik dan ekonominya terpelihara serta tidak jatuh merosot.

Begitulah yang dilakukan oleh mereka yang menerima amanah rakyat sejak zaman sebelum dan sesudah Merdeka sehingga menyaksikan Selangor dicemburui kerana muncul seperti sekarang.

Bagaimanapun faktor pemimpin tidak selalunya benar kerana sebagai negeri berjiran dengan Wilayah Persekutuan, tempias pembangunan Kuala Lumpur (kini termasuk juga Putrajaya) turut memainkan peranan besar ke atas ekonomi Selangor. Bayaran pampasan bernilai ratusan juta setiap tahun selama hampir 20 tahun diterima dari kerajaan pusat juga turut menyumbang kepada kepesatan pembangunan Selangor.

Kalau dibanding dengan Perak sebagai contoh, kejatuhan Selangor pada 2008 kepada Pakatan Rakyat satu malapetaka buat BN. Setidak-tidaknya dari segi ekonomi, kerajaan baru, Pakatan Rakyat ibarat tikus jatuh ke dalam guni beras. Maka seperti kebiasaan banyaklah sang tikus berkeliaran untuk menumpang peluang rezeki sehingga  Abdul Khalid Ibrahim yang baru dilantik menjadi MB mengambil sikap berhati-hati. Antara yang memeningkan misalnya, siasatan serta tuduhan mengenai amalan kronisme serta rasuah dalam kelulusan kawasan pasir dan sebagainya di negeri itu.

Inilah dilema yang dihadapi oleh MB Selangor. Fokus bukan saja daripada media dan rakyat, tetapi turut dicemburui rakan-rakan dalam parti. Inilah juga pengalaman yang dilalui Mohamad Khir Toyo sepanjang bergelar MB yang mana kini diwarisi Abdul Khalid pula.

Menoleh kembali sejarah, seperkara menarik tentang Selangor berbanding negeri-negeri lain ialah kerusi MB seperti ada jin atau puaka - keras dan sentiasa panas membara. Kita tentu ingat cerita Abu Hassan Omar, Harun Idris dan ramai yang menjawat jawatan ini termasuk tokoh seperti Mike Tyson berdepan pelbagai cabaran.

Begitu pun BN kebal dan rakyat khususnya orang Melayu berdiri di belakang pemimpin mereka. Hal ini bertahan sehinggalah Khir Toyo tampil memperkenalkan “penyapu” sebagai hadiah kepada kakitangan  tidak berkualiti.

Kini apa dilalui tokoh-tokoh terdahulu dilalui Abdul Khalid, bekas CEO PNB yang meninggalkan dunia korporat untuk jadi orang politik. Dalam dunia korporat ia mengenai untung atau rugi dan jika prestasi syarikat berada di tahap merugikan,  kedudukan CEOnya terjejas. Tetapi di Selangor atau dalam mana-mana negeri kedudukan MB tidak ditentukan untung atau rugi.

Lazimnya kalau 'big bos' tak suka maka hebat macam mana sekalipun tokoh berkenaan ia tetap tidak hebat. Contoh mudah prestasi PR dalam PRU13 jauh lebih baik dari pilihan raya sebelumnya sehinggakan Abdul Khalid dikekal sebagai MB. Ura-ura Abdul Khalid bakal ditendang keluar oleh Anwar Ibrahim dinafikan begitu juga dengan berita Azmin Ali sebagai penggantinya.

Kebelakangan ini cerita Azmin bakal menggantikan Khalid kembali menghiasi meja sarapan di gerai-gerai. Penafian yang dibuat oleh, sama ada Khalid atau Azmin tidak beri sebarang impak dalam sejukkan suasana.

Cerita Abdul Khalid tidak sealiran dengan Pak Sheikh bermula dengan komen mantan menteri kewangan itu bahawa Abdul Khalid gagal membelanjakan perolehan negeri dengan baik. Ironinya Pak Sheikh memuji Lim Guan Eng dan Pulau Pinang sementara Abdul Khalid dilihat ibarat haji bakhil. Membazir dan boros bukan dalam kamus bekas tokoh belia itu. Namun pendekatan berhati-hati Abdul Khalid menjadikan rezab Selangor mencecah RM2 bilion.

Di sebalik teguran terbuka Pak Sheikh ada yang tersirat. Abdul Khalid adalah pilihan pertama sebagai MB Selangor berbanding Azmin pada 2008. Maknanya Abdul Khalid adalah pilihan rasmi Pak Sheikh. Terkeluarnya komen begini umum merasakan Pak Sheikh sudah hilang kepercayaan pada Khalid. Pilihan buat Abdul Khalid dari apa sudut sekalipun ialah dengan meletakkan jawatan  memberi laluan pada tokoh lain.

Bertolak dari krisis ini, PKR  harus menentukan pengganti Abdul Khalid, sama ada Azmin atau mana-mana Adun dari Pas. Oleh kerana dari segi bilangan kerusi, Pas jauh atasi PKR, maka logiknya kerusi MB Selangor sepatutnya menjadi milik Pas pula.

Selama ini Abdul Khalid terselamat dari dibuang kerana pengaruh Presiden PKR Wan Azizah Ismail, yang juga isteri Pak Sheikh. Bagi kumpulan menyokong Wan Azizah, Azmin adalah liabiliti pada PKR, namun mereka gagal menyekat kemaraan Azmin kerana faktor Pak Sheikh. Sama ada Abdul Khalid akan hilang kerja berprestij itu atau kekal sehingga ke pilihan raya umum akan datang, ia banyak bergantung pada pengaruh Wan Azizah dan anaknya Nurul Izzah yang menjawat Naib Presiden PKR.

Masa depan Abdul Khalid nampaknya bukan terletak pada rakyat Selangor atau pihak istana tetapi lebih kepada Wan Azizah. Kalau dia hilang kuasa bererti benarlah Abdul Khalid juga terkena badi menteri-menteri besar Selangor BN sebelumnya.

0 comments:

Post a Comment