Presiden FIFA, Sepp Blatter akhirnya menyatakan permohonan maaf di atas keterlanjuran kata-katanya yang didakwa oleh pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti sebagai tidak menghormati pemainnya iaitu Christiano Ronaldo.
Sepp Blatter mengatakan dia tidak berniat untuk mempersendakan pemain tersebut sebaliknya hanya memberikan respons kepada moderator yang bertanyakan kepadanya pemain mana yang menjadi pilihannya untuk menggenggam Anugerah Pemain Terbaik Dunia menerusi Anugerah Tahunan FIFA Ballon d’Or.
Blatter ketika itu berada di Universiti Oxford dan hanya menyatakan dalam keadaan bergurau bahawa Messi merupakan seorang anak yang diidamkan setiap ibu bapa di dunia dan tidak langsung mahu mengutuk Ronaldo di atas ucapannya itu.
Menurut laporan sebelum ini, Blatter dikatakan telah mengeluarkan kenyataan bahawa Ronaldo lebih banyak menghabiskan wangnya dengan mendandan rambut daripada memberikan aksi terbaik dalam sesuatu perlawanan yang dihadapinya.
Menerusi permohonan maaf yang dikirimkan kepada presiden kelab tersebut, Florentino Perez, Blatter menyatakan kekesalannya di atas salah faham yang berlaku.
Malah dia tidak berniat untuk mengutuk kelab itu atau pemainnya kerana baginya Real Madrid merupakan kelab bola sepak yang paling disanjunginya sejak dirinya kecil lagi.
Oleh: AUDREY LEE
0 comments:
Post a Comment