KANGAR – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggesa pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memanfaatkan cuti panjang selepas peperiksaan untuk membina kemahiran diri.
Baginda bertitah, antara yang boleh dilakukan termasuk menyertai kursus jangka pendek seperti kursus bahasa asing, kulinari, fotografi, mekanik, komputer dan jahitan yang boleh membantu pelajar memilih bidang kerjaya kelak.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah demikian selepas program berbasikal MAIPs Peduli, di Masjid Al Mustaqim, Kota Kayang, dekat sini, malam tadi.
“Pelajar juga perlu sentiasa mengambil peluang mengikuti program promosi pengajian lanjutan anjuran pelbagai institusi pengajian tinggi serta pameran-pameran yang relevan,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin juga berharap pelajar dapat menyertai badan sukarela dan kemasyarakatan dengan menyumbang tenaga dan idea dalam kegiatan yang dianjurkan selain sentiasa meluangkan masa bersama ibu bapa dan penjaga.
Pada masa sama, baginda turut menasihati pelajar supaya tidak terlibat dalam kegiatan sosial atau subversif yang memudaratkan diri.
Sebelum itu, baginda bersama anggota Kelab Berbasikal Regimen 504 Askar Wataniah berbasikal sejauh 14 kilometer bermula di Masjid Nurul Iman, Kurong Batang dan berakhir di Masjid Al Mustaqim.
Sepanjang kayuhan yang melalui beberapa kampung tradisional itu, baginda turut singgah di rumah penduduk penempatan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Tok Kuning.
Pada majlis itu, baginda menghulurkan sumbangan zakat MAIPs kepada ibu tunggal, Sepiah Ismail, 72, nelayan sungai, Mat Din Jusoh, 72 serta buruh, Abu Hassan Ramle, 31 dengan masing-masing menerima RM400.
Turut mengiringi baginda dalam program berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Abdul Malek Husin dan Pengurus Baitulmal Perlis Mohd Nazim Mohd Noor. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment