Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, November 26, 2013

No Comment

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini menolak usul yang dibawa Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) bagi mengecam Amerika Syarikat (AS), Australia dan Singapura berhubung dakwaan pengintipan terhadap Malaysia yang boleh menjejaskan negara.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata usul itu ditolak kerana beliau difahamkan Kementerian Luar telah mengemukakan nota bantahan dan memanggil Duta Besar AS dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura untuk penjelasan lanjut.

“Tindakan telah dibuat, dengan itu perkara ini tidak perlu disegerakan, saya menolak usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1),” katanya selepas selesai sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di sini.

Keputusan Pandikar Amin itu bagaimanapun sukar diterima beberapa anggota pembangkang dan meminta Yang Dipertua memberi penjelasan lanjut mengenai perkembangan terkini isu itu.

“Nota bantahan telah diberikan dan kedutaan telah berikan nota itu kepada kerajaan mereka dan apakah jawapan kerajaan mereka, kalau sekadar beri nota bantahan dan mereka terima tetapi pengintipan terus dilakukan, tiada permohonan maaf, itu mencabul kedaulatan negara kita,” kata Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena).

Tian Chua (PKR-Batu) turut bangkit dan meminta Pandikar Amin agar mempertimbangkan keputusan beliau kerana sekiranya ia tidak dibahaskan, Dewan dilihat sebagai gagal memberi desakan kepada negara-negara berkenaan.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pula mahu pembangkang menerima keputusan Yang Dipertua kerana ia muktamad dan tidak perlu dirunding lagi.

Perbalahan itu kemudian dileraikan apabila Pandikar Amin berkata walaupun beliau menolak usul itu, tidak bermakna ia tidak mustahak dan meminta agar pihak kerajaan harus mengambil perhatian serius terhadap isu intipan itu.

“Ahli Yang Berhormat harus sedar, bila saya buat keputusan, ia muktamad mengikut Peraturan Mesyuarat, bila saya benarkan usul itu dibaca di dalam majlis, lepas itu saya tolak, itu bermakna kerajaan harus ambil perhatian serius,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment