KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk menambah bilangan stesen minyak yang menawarkan perkhidmatan gas asli untuk kenderaan (NGV) di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
Beliau berkata setakat ini terdapat 176 buah stesen Petronas yang menyediakan perkhidmatan NGV di seluruh negara yang dimanfaatkan kira-kira 57,000 kenderaan termasuk 55,000 teksi.
“Hanya Petronas yang menyediakan perkhidmatan bekalan NGV di mana terdapat 93 stesen di Selangor dan Wilayah Persekutuan, 10 di Kedah manakala selebihnya di negeri-negeri lain,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Nawawi Ahmad (BN-Langkawi) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Nawawi meminta penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perancangan kerajaan untuk membina stesen NGV di Pulau Langkawi.
Abdul Wahid berkata kerajaan juga tidak mempunyai perancangan membina stesen NGV di Pulau Langkawi atas beberapa faktor yang telah dikenal pasti sebelum ini.
Katanya, tiada rangkaian infra paip gas bagi menyalurkan NGV dari Semenajung ke Pulau Langkawi, kos pembangunan stesen yang tinggi iaitu kira-kira RM2.5 juta untuk setiap stesen serta kos subsidi yang tinggi.
“Harga NGV adalah RM0.68 seliter berbanding kos RM2.03 seliter. Ini bermakna Petronas memberikan subsidi sebanyak RM1.35 seliter. Untuk tahun 2012 sebanyak RM600 juta dibelanjakan Petronas untuk subsidi NGV,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Er Teck Hwa (DAP-Bakri), Abdul Wahid menjelaskan kerajaan juga tiada perancangan untuk membina stesen NGV di setiap daerah di negara ini.
Abdul Wahid berkata ketika ini hanya Petronas yang membekalkan NGV dan kerajaan tiada perancangan untuk menambah jumlah stesen memandangkan kos subsidi untuk kesemua 176 stesen melibatkan RM600 juta setahun.
“Ini bagi mengurangkan beban kos yang perlu ditanggung kerajaan dalam membekalkan bekalan NGV kepada pengguna gas asli itu,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment