JINHUA – Marahkan suami, anak jadi mangsa. Itu yang berlaku kepada seorang budak malang berusia empat tahun, Duoduo yang didera ibu kandung sendiri.
Duoduo kini bergelut dengan maut selepas dia dipaksa oleh ibunya, Shen Dan, 40, minum minyak petrol sebelum mengheret anaknya itu ke dapur gas yang sedang menyala.
Keadaan itu menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan parah dengan 35 peratus bahagian kepalanya terbakar.
Paru-paru kanak-kanak itu juga mengalami kerosakan yang teruk dan jika Duoduo terselamat pun, dia tidak akan mampu bercakap lagi manakala matanya juga buta.
Kejadian tragis itu berlaku selepas ibunya tidak berpuas hati dengan bapanya, Zhang Qiusheng, 48, yang dikatakan tidak melayannya dengan baik.
Pasangan itu juga dikatakan sering bertengkar mengenai wang.
Pada hari kejadian, selepas bertengkar dengan suaminya, Shen Dan telah keluar dari rumah , sebelum kembali semula dengan membawa minyak petrol.
Dia kemudian memaksa anaknya itu minum petrol berkenaan dan apabila Duoduo cuba menepisnya, wanita itu terus mengheretnya ke dapur dan membakar anaknya.
Zhang Qiusheng cuba membantu dengan menarik budak tersebut daripada dapur menyebabkan dia, anaknya dan isterinya terkena petrol yang tertumpah di badan mereka.
Ini menyebabkan mereka terbakar namun Zhang Qiusheng sekuat hati mengheret anaknya ke ruang tamu dan membalut kepala budak itu dengan selimut bagi memadamkan kebakaran.
Zhang Qiusheng dan isterinya juga dimasukkan ke hospital selepas mengalami 15 peratus lecur di bahagian badan.
Wanita itu berdepan dengan tuduhan jenayah dan bakal dihadapkan ke mahkamah, namun bagi Zhang Qiusheng pula,semuanya sudah berakhir.
“Saya tidak faham kenapa dia melakukannya, dia bergaduh dengan saya kerana masalah wang dan kerana marah dia sanggup mencederakan anak kesayangan saya. Itu juga anaknya, saya tidak faham kenapa dia melakukannya.
“Saya tidak akan mahu melihat mukanya lagi selepas ini dan saya akan mendapatkan peguam untuk kami bercerai,’’ kata Zhang Qiusheng.
0 comments:
Post a Comment