NUSAJAYA – Taktik sindiket pengedaran daun ketum menggunakan khidmat kurier untuk membawa bekalan bahan larangan dari Kedah ke negeri ini, tidak berhasil apabila berjaya dikesan polis.
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superitendan Noor Hashim Mohamad berkata, dalam serbuan sekitar jam 2.50 petang pada Rabu lalu, pihaknya turut menahan dua lelaki berumur 30-an dan 44 tahun.
Menurutnya, Kedua-dua suspek ditahan di hadapan sebuah premis perniagaan di Taman Nusantara, Gelang Patah, di sini, ketika sedang membawa sebuah kotak untuk diletakkan di dalam
but sebuah kereta.
“Hasil Pemeriksaan di dalam kotak yang dibawa suspek menjumpai beberapa ikatan daun ketum dengan jumlah berat 10 kilogram (kg).
“Berdasarkan hasil soal siasat turut mendedahkan kedua-dua lelaki itu mendapatkan bekalan daripada rakan mereka di Kedah dan dihantar menggunakan satu pesanan pos berdaftar dan dialamatkan ke sebuah premis perniagaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya, di sini, semalam.
Noor Hashim berkata, pasaran daun ketum di Johor hampir tiada dan merupakan kes terpencil, namun kegiatan pengedarannya dipantau dari masa ke semasa.
“Harga pasaran daun ketum dijual dengan harga RM25 bagi 1kg, manakala harga air ketum proses turut dijual sebanyak RM2 hingga RM3 bagi 500 mililiter. Setiap sekilogram daun ketum mampu menghasilkan sehingga 50 hingga 60 liter air ketum.
“Campuran air ketum turut menggunakan beberapa bahan lain seperti ubat nyamuk, minuman bergas, minuman isotonik dan ubat batuk. Kegunaannya adalah bertujuan untuk menambahkan tenaga selain mengkhayalkan pengambilnya,” katanya.
Katanya, suspek berusia 30-an itu bekerja sebagai juruwang, manakala seorang lagi berumur 44 tahun berasal dari Kedah dan bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat swasta di Singapura.
“Mereka direman selama empat hari bermula kelmarin. Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya. - Sinar Harian Online
0 comments:
Post a Comment