KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penulis lirik Altimet menafikan lirik lagu ciptaannya berjudul Kalau Aku Kaya nyanyian Awi Rafael menyentuh dan mempersendakan mana-mana pihak termasuk kerajaan.
Altimet atau nama sebenar Ahmad Abdul Rahman, 35, berkata, lirik lagu tersebut dicipta pada awal tahun lalu sebelum pembentangan Bajet 2014 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Oktober lepas.
“Saya tidak pernah memikirkan untuk mempersendakan mana-mana pihak ketika menulis lagu ini. Ia adalah sepenuhnya berkaitan apa yang rakyat mahukan jika mereka menjadi kaya.
“Cuma lagu ini secara kebetulan hit ketika pembentangan bajet 2014 dilakukan,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran muzik video lagu itu di Kelab Petroleum Malaysia, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, Jumaat.
Altimet berkata demikian bagi mengulas dakwaan segelintir pihak yang menganggap lirik lagu tersebut ada menyentuh tentang beberapa perkara mengenai Bajet 2014 yang dibentangkan seperti menyentuh tentang subsidi gula.
Tambahnya, dalam mencari idea menulis lagu ini, dia terpaksa membuat tinjauan terhadap lebih 40 orang daripada pelbagai peringkat usia bagi mengetahui impian mereka jika berpeluang menjadi jutawan.
“Ketika menulis lagu ini saya banyak bertanya kepada orang ramai tentang impian mereka.
“Apa yang saya tulis bukan rekaan saya sahaja tetapi suara segelintir rakyat di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Awi mengakui penerimaan masyarakat terhadap lagu tersebut sangat menggalakkan termasuk golongan kanak-kanak.
“Ia sebuah lagu yang memberi inspirasi dan mudah didengar. Saya lihat ramai kanak-kanak yang sudah menghafal dan menjadikan lagu ini sebagai siulan.
“Saya berterima kasih kepada Altimet kerana memberi kepercayaan dan peluang kepada saya menyanyikan lagu ini,” katanya.
Dalam pada itu, muzik video alau Aku Kaya turut berkisarkan tentang persepsi pandangan seseorang tentang nilai harga dan kekayaan.
Penggambaran muzik video arahan Ravi ini dilakukan di Gerik, Perak dengan menggunakan beberapa kenderaan antik. - mStar Online
0 comments:
Post a Comment