KUALA LUMPUR – Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) membantah langkah kerajaan melonggarkan syarat permohonan Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA).
Koordinatornya, R.Thevarajan mendakwa, orang ramai yang telah memiliki rumah tidak sepatutnya dibenarkan memohon rumah di bawah projek PR1MA.
“Laman web http://www.pr1ma.my/eligibility.html menjelaskan salah satu kelayakan awal “tidak memiliki lebih daripada 1 hartanah sama ada anda atau pasangan anda jika ada”.
“Apa yang cuba dilakukan oleh kerajaan dengan membenarkan pembeli yang yang sudah memiliki rumah untuk membuat permohonan rumah PR1MA,” soalnya melalui satu kenyataan media hari ini.
Thevarajan mendakwa, kerajaan harus memberi fokus terhadap pembeli rumah pertama melalui projek PR1MA kerana ia turut melibatkan hak asasi manusia untuk mendapatkan kediaman.
Beliau mendakwa kelonggaran syarat itu akan menggalakkan lebih ramai membeli rumah bagi tujuan pelaburan.
Dakwanya, hal itu antara penyumbang kepada spekulasi harga rumah yang menyebabkan harga rumah melambung tinggi sekali gus menyukarkan orang ramai memiliki sebuah rumah.
“Secara praktikalnya, seseorang itu bukan boleh tinggal di beberapa rumah pada sesuatu masa. Tambahan alamat surat menyurat hanya tertumpu pada satu alamat kediaman yang rasmi sahaja,” dakwanya lagi.
Media baru-baru ini melaporkan projek PR1MA akan membuka permohonan kepada mereka yang sudah memiliki rumah tetapi mahukan rumah kedua di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dipetik berkata, peluasan syarat permohonan itu dijangka eningkatkan permohonan pemilihan rumah PR1MA atas talian daripada 250,000 kepada sejuta permohonan.
Beliau turut menjelaskan, permohonan akan dibuka terutama kepada golongan yang sudah mempunyai rumah di kampung yang berkedudukan jauh tetapi terpaksa bekerja di ibu negara.
0 comments:
Post a Comment