Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, November 12, 2013

No Comment

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan akan memberi tumpuan kepada program pencegahan penyakit tidak berjangkit termasuk kencing manis dalam usaha mengurangkan kos perubatan bagi tempoh jangka panjang.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata dengan perubahan teknologi dan kaedah rawatan, kerajaan terpaksa berbelanja lebih banyak untuk kos rawatan di hospital berbanding usaha mencegah penyakit.

“Setakat ini, sebanyak 60 peratus daripada peruntukan tahunan Kementerian Kesihatan diguna untuk rawatan hospital dan hanya lima peratus dibelanja untuk pencegahan penyakit,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kesihatan Awam Kebangsaan Ke-7 anjuran Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) dengan kerjasama kementerian itu di sini, hari ini.

Dr Subramaniam berkata semasa lawatannya ke Hospital Kuala Lumpur baru-baru ini, beliau mendapati pesakit diabetes yang berumur dalam lingkungan 40-an terpaksa dipotong anggota tubuh berikutan keadaan penyakit yang kronik.

Menurutnya keadaan itu dapat dielak jika pendekatan yang mengutamakan pencegahan dan pengamalan gaya hidup yang sihat dilaksanakan sepenuhnya.

Justeru, katanya Kementerian Kesihatan akan meningkatkan program penjagaan kesihatan awam bagi memastikan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengelak daripada obesiti yang mendedahkan mereka kepada penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis.

Buat permulaan, katanya sebanyak 18,000 pegawai dan anggota Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara akan membantu Kementerian dalam melaksanakan program itu terutamanya bagi mendidik rakyat mengenai kepentingan menjaga kesihatan masing-masing.

Selain itu, Kementerian Kesihatan akan menggiatkan kawalan persekitaran termasuk memastikan premis makanan bersih bagi mengelak penyakit berpunca daripada jangkitan kencing tikus dan kediaman bebas ancaman denggi.

Dalam pada itu, katanya kementerian akan menggalakkan pembangunan perkhidmatan kesihatan di rumah pesakit untuk mengurangkan tempoh pesakit kronik tinggal di hospital dan melakukan rawatan lanjutan di rumah.

Mengenai isu perlindungan kesihatan sejagat (UHC), Dr Subramaniam berkata kerajaan berharap rakyat Malaysia akan mempunyai peluang menikmati kemudahan rawatan di institusi perubatan awam dan swasta dengan selesa.

Namun, katanya pada masa ini hanya mereka yang mampu sahaja boleh mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta.

Bertema ‘Public-Private Partnership Towards Achieving Universal Health Coverage’, persidangan tiga hari itu yang bermula semalam, disertai 450 peserta dari pelbagai kategori perubatan dan kesihatan termasuk pakar perubatan kesihatan awam, pegawai perubatan dan pengurus perkhidmatan kesihatan. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment