KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2013 yang berlangsung di Colombo, Sri Lanka bermula 15 hingga 17 November ini.
Beliau akan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman serta para pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Luar, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Belia dan Sukan; dan Unit Perancang Ekonomi.
Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, mesyuarat itu bertemakan “Pertumbuhan dengan Ekuiti: Pembangunan Inklusif”, bersesuaian pada ketika komuniti global berdepan dengan ketidakseimbangan pengagihan pendapatan dan hasil ekonomi yang ketara.
Ia dijangka membincangkan langkah-langkah untuk mengatasi cabaran semasa dan akan datang bagi mencapai pembangunan yang inklusif, saksama dan mampan.
Selain itu, Ketua-ketua Kerajaan Komanwel akan turut mengkaji situasi global dan perkembangan ekonomi semasa serta berbincang isu-isu terkini.
Ia termasuk demokrasi, tadbir urus baik, pembangunan mampan, pengurusan hutang, Matlamat Pembangunan Milenium dan rangka pembangunan pasca 2015, pendidikan, alam sekitar, kesaksamaan jantina, kesihatan, ICT, perdagangan pelbagai hala, negara kecil serta isu berkaitan belia.
Satu pernyataan CHOGM 2013 akan dimuktamadkan setelah berakhirnya mesyuarat ini, menurut kenyataan itu.
Najib dan Anifah juga dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatan masing-masing untuk membincangkan isu berkepentingan bersama.
CHOGM diadakan dua tahun sekali bagi membincangkan isu-isu global dan berkaitan Komanwel serta membuat keputusan berhubung dasar dan inisiatif bersama. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment