KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Mustapa Mohamed menolak laporan Wikileaks yang menyatakan harga ubat-ubatan akan naik selepas Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) dimuktamadkan.
Mustapa berkata pendirian negara mengenai TPPA jelas, dan sebarang rundingan yang akan terlibat hendaklah selari dengan dasar dan kepentingan negara.
“Pendirian Malaysia jelas, sama ada berkenaan harga ubat, timbang tara atau pun pemerolehan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rantaian Miti dan Agensi Bersama Sektor Swasta, sempena Sambutan Deepavali.
Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ir Hamim Samuri dan Ketua Setiausaha Kementerian Miti Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria.
Kata Mustapa kerajaan telah memberikan komitmen untuk membahaskan TPPA di Parlimen sebelum menandatangani perjanjian berkenaan.
“Rakyat dan anggota parlimen yang mahu memberikan pandangan, akan diberi peluang untuk membahaskan perkara ini.
“Oleh itu, tidak timbul isu kita akan kompromikan kepentingan negara kita,” katanya.
Wikileaks baru-baru ini melaporkan bahawa harga ubat-ubatan akan naik selepas TPPA dimuktamadkan kerana perjanjian berkenaan melarang negara anggota membeli dari negara ketiga, dan perlu akur dengan satu pembekal ubat, sekali gus mengehadkan pilihan pembekal ubat dan mewujudkan monopoli daripada pembekal ubat-ubatan.
Sementara itu, mengenai gesaan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin supaya permit import (AP) dimansuhkan dalam Dasar Automotif Negara (NAP) yang baharu, beliau berkata kerajaan mendengar setiap pandangan yang diberikan oleh pelbagai pihak.
“Kita (kerajaan) dengar. NAP masih dalam kajian kerajaan (dan) kita masih belum putuskan NAP yang baharu,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap input-input yang diberikan oleh pelbagai pihak tentang NAP termasuk isu berkaitan AP.
Kerajaan dijangka mengumumkan keputusan kajian semula NAP pada 15 Jan tahun depan. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment