COLOMBO (Sri Lanka) – Usaha Malaysia mengambil bahagian dalam Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (Chogm) 2013 di Sri Lanka adalah relevan kerana ia mempunyai banyak perkara untuk dikongsi dan belajar dari negara-negara Komanwel yang lain, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
Dengan keanggotaan menjangkau semua lima benua di dunia, Komanwel berada dalam kedudukan yang baik untuk memainkan peranan penting bagi menyumbang ke arah pembangunan dan kemajuan di seluruh pelosok dunia seperti menggalakkan demokrasi dan tadbir urus yang baik, ekonomi, sosial dan budaya.
Anifah berkata penyertaan Malaysia dalam Chogm tahun ini, yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadual tiba di ibu negara Sri Lanka pada Khamis, adalah satu bukti kepada komitmennya untuk menjadi hos mesyuarat sidang kemuncak dwitahunan pada 2019.
“Ia menunjukkan kesediaan, bagaimana kesanggupan kita (menjadi hos pada 2019),” katanya kepada wartawan Malaysia di sini Rabu.
Malaysia menawarkan untuk menjadi hos Chogm 2019 semasa Chogm 2011 di Australia. Najib dilaporkan sebagai berkata tahun itu sangat signifikan kerana Malaysia menjadi hos pertama pada 1989 iaitu 30 tahun lepas.
Berhubung gesaan supaya Najib tidak menghadiri Chogm 2013, Anifah berkata sementara beliau mengambil perhatian gesaan pembangkang berhubung penyertaan itu, bagaimanapun dengan tidak menghadirinya tidak membawa manfaat atau memberi kelebihan kepada negara.
“Apa yang penting, kita datang untuk membantu menjadikan eksesais Komanwel seperti yang termaktub dalam piagam Komanwel.
“Kita juga ingin melihat bagaimana proses perdamaian berlaku di Sri Lanka,” katanya.
Berhubung keputusan sesetengah pemimpin negara untuk tidak menghadiri Chogm tahun ini, Anifah berkata beliau percaya pada umumnya ia tidak akan menjejaskan mesyuarat itu memandangkan pemimpin yang hadir akan mengemukakan perbincangan dan isu-isu yang baik.
“Banyak perkara yang Malaysia boleh belajar dan menyumbang daripada mesyuarat ini,” katanya sambil menambah Malaysia menghormati keputusan sesetengah pemimpin untuk tidak menghadiri Chogm tahun ini kerana ia merupakan hak mereka.
Chogm 2013 yang bertemakan “Pertumbuhan dengan Ekuiti: Pembangunan Inklusif” itu akan diadakan bermula 15 hingga 17 Nov. Najib dijangka menghadiri tiga sesi eksekutif dan tiga sesi pemukiman dengan ketua-ketua kerajaan.
Anifah berkata ketua-ketua kerajaan dijadual membincangkan langkah-langkah bagi mengatasi cabaran semasa dan akan datang bagi mencapai pembangunan yang inklusif, saksama dan mampan.
Para pemimpin juga akan turut mengkaji perkembangan politik dan ekonomi global dan membincangkan isu-isu termasuk keamanan dan keselamatan antarabangsa, demokrasi, tadbir urus yang baik, pembangunan mampan, pengurusan hutang, pendidikan, Kerangka Kerja Pembangunan Pasca 2015, isu-isu perdagangan pelbagai hala dan hal ehwal belia, katanya.
Anifah juga menegaskan bagi Malaysia, Komanwel merupakan satu persatuan bukan sahaja terdiri daripada kerajaan tetapi juga oleh rakyat.
“Penyertaan aktif kita bertujuan bagi memastikan Komanwel kekal memberi tumpuan berhubung aspek pembangunan sosio yang memberi manfaat kepada semua negara-negara anggota dan pada masa sama menegakkan prinsip-prinsip pembangunan dan demokrasi dengan cara seimbang,” katanya.
Anifah berkata bagi Chogm tahun ini, Malaysia menaruh harapan untuk terus bekerjasama dengan rakan-rakan Komanwel bagi mempromosi kesederhanaan sebagai satu pendekatan bagi menangani cabaran dan ancaman global ke atas keselamatan dan keamanan antarabangsa.
Beliau berkata tema Chogm adalah relevan kepada Malaysia yang berusaha ke arah mencapai status sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 di mana pembangunan sama rata dan terangkum memang sentiasa dalam agenda pembangunannya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment