Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, November 13, 2013

No Comment
Pertahan aliran ahli Sunnah

Isnin lalu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) meneruskan program jelajah Wacana Pemantapan Aqidah dengan penganjuran kali ini di Kedah. Ini merupakan negeri keempat selepas kejayaan menganjurkan program yang sama di Kuala Lumpur, Perlis dan Terengganu.

Kehadiran hampir 2,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat juga menzahirkan betapa umat hakikatnya amat sensitif terhadap isu-isu yang mengancam aqidah mereka.

Yadim mengambil inisiatif untuk menjelajah ke seluruh negara bagi meratakan kefahaman kepada masyarakat akan kepentingan mempertahankan kesucian aqidah yang kini diancam dengan pelbagai aliran pemikiran yang menyesatkan.

Sememangnya mempertahankan aqidah adalah tanggungjawab terpenting setiap umat Islam. Kecelaruan aqidahlah yang sering kali menatijahkan bukan sahaja kesesatan malah perpecahan di kalangan umat Islam.

Maka tidak hairanlah umat Islam berterusan berantakan sesama sendiri lantaran mengalami krisis pendangkalan dan kecelaruan aqidah. Dalam konteks ini, ALLAH berfirman: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu turutinya dan janganlah kamu turuti jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan ALLAH. Dengan yang demikian itulah ALLAH perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa” (Al-An’am:153)

Baginda SAW bersabda, “sesungguhnya golongan ahli dua kitab berpecah dalam agama mereka kepada 72 puak, dan umat ini akan berpecah kepada 73 - iaitu yang menuruti hawa nafsu - kesemuanya dalam neraka kecuali satu kumpulan iaitu yang mengikut jamaah. Dalam riwayat lain Rasulullah SAW ditanya: Kumpulan yang mana satu itu wahai Rasulullah? Nabi SAW menjawab: Kumpulan yang mengikut perjalananku dan para sahabatku”  

Penekanan Rasulullah SAW agar umat berpegang teguh pada pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah turut disebut dalam wasiatnya sebagaimana dalam hadis lain:

“Daripada Al-Irbad bin Saariyah RA berkata, kami mendengar satu pengajaran daripada Nabi SAW yang menggentarkan jiwa dan mengalirkan air mata maka berkatalah kami kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah seakan-akan kamu pengajaran yang engkau berikan ini merupakan satu pengajaran selamat tinggal, maka berilah wasiat kepada kami.

Maka bersabda Rasulullah: "Aku wasiatkan kepada kalian agar bertakwa pada ALLAH dan dengar dan taat walaupun yang memerintahkan kalian itu dari kalangan hamba sahaya. Maka sesungguhnya sesiapa di kalangan kamu yang masih hidup, maka akan kalian dapati perselisihan yang banyak akan berlaku. Dan pada waktu itu, berpeganglah pada sunnahku dan sunnah para khulafa ar-rashidin al-mahdiyyin selepas daripadaku. Turutilah ia dan genggamlah ia dengan geraham kalian. Dan jauhilah perkara-perkara bidaah dan setiap bidaah adalah sesat.”

Berasaskan kedua-dua hadis ini, jelaslah kepada kita betapa pentingnya untuk umat Islam berpegang teguh pada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi prasyarat terpenting menentukan kita berada pada landasan yang betul.

Persoalan terpenting ialah siapakah sebenarnya Ahli Sunnah yang dimaksudkan. Al-Imam Ibnu Hazm dalam kitab tulisannya bertajuk Al-Fasl fi al-Malik wa al-Nahl menjelaskan makna Ahli Sunnah dengan menyebutkan seperti berikut:

“Ahli Sunnah ialah mereka yang kita panggil ‘ahlul haq’ (kumpulan yang berada pada landasan yang benar) dan yang lain daripada mereka ialah ‘ahli bidaah’ (kumpulan yang sesat), kerana mereka terdiri daripada para sahabat dan siapa sahaja yang mengikuti jalan mereka daripada kalangan tabiin. Kemudian para ahli hadis dan yang mengikut mereka daripada kalangan ulama fekah dari satu generasi ke generasi berikutnya hinggalah ke hari ini, begitulah juga orang yang mengikuti mereka daripada kalangan orang awam segenap pelosok dunia”.

Jelaslah di sini kedudukan dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam aqidah Islam adalah amat penting kerana ia merupakan penentu sama ada kita berada pada landasan yang benar lagi diredai ALLAH atau sebaliknya.

Mempertahankan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah juga adalah seperti mempertahankan kesucian Islam sebagaimana wasiat dan amanah Rasulullah SAW yang diletakkan ke atas bahu setiap umat Islam.

0 comments:

Post a Comment