Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, November 18, 2013

No Comment
Yaacob bersemangat menceritakan detik cemas ketika berdepan musuh

MENYUSUP di dalam hutan belukar tanpa dikesan sudah menjadi kemahiran komunis. Selain membuat serangan hendap, mereka memasang banyak jerangkap samar untuk melemahkan pihak lawan.

Apa pun strategik atau teknik serangan digunakan musuh, anggota keselamatan negara tetap bersemangat mengangkat senjata dan berjuang mempertahankan negara.

Begitu juga dengan bekas anggota Pasukan Polis Hutan (PPH), Yaacob Daud, 66, yang mengalami peristiwa berdarah gara-gara perangkap komunis.

Walaupun Yaacob kehilangan kaki kanannya dalam satu operasi ketika darurat, namun dia tidak pernah berputus asa untuk meneruskan khidmat sehinggalah pencen.

Menceritakan pembabitan awal dalam bidang pertahanan negara, Yaacob memberitahu ketika kejadian 13 Mei 1969, dia masih dalam rekrut di Ulu Kinta, Perak.

Bermula 7 Jun, Yaacob berkhidmat sebagai polis hutandi Platun 11, C Company, Batalion 10, Kem Bukit Galing, Kuantan, Pahang selama 20 tahun sebelum bertukar ke Balai Polis Kota Bharu.

Yaacob masih ingat lagi kejadian berlaku pada lewat malam sebelum tahun baru, 1977 di kawasan operasi Kelian Intan, Kampung Lalang, Gerik, bersempadan dengan Thailand.

Ketika itu platun komander ialah Inspektor Abdul Ghafur Yasin (adik kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin). Pada hari kejadian, Abdul Ghafur tamat jadual tugas dan tempatnya diganti Inspektor Hasnan.

Pasukan mereka masuk ke Kelantan waktu darurat. Rentetan daripada peristiwa rusuhan 13 Mei itu, polis, tentera dan pentadbiran awam sertai Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan dan Tun Abdul Razak sebagai pengarahnya.

Pergelangan kaki tercabut

“Kami masuk hutan kira-kira jam 8 pagi dan tiba di lokasi pendaratan helikopter. Kami perlu periksa kawasan itu lebih kurang satu kilometer persegi termasuk tebing sungai.

“Kami nampak ada tapak lama bekas PPH dari Johor yang ditinggalkan tetapi ada kesan digunakan komunis," kata Yaacob,  

Tambahnya, pihak komunis sebenarnya sudah menjangka kehadiran mereka dan memasang beberapa jerangkap samar. Ia dipasang dari jarak lima meter.

"Saya ditugaskan untuk mengesan dan mematikan jerangkap samar tersebut. Masa tu kami berjalan hati-hati sebab takut tersalah pijak jerangkap samar. Dua daripadanya berjaya dikesan dan dimatikan.

“Tetapi yang ketiga ia disembunyikan bawah tanah dan dawainya disambung ke tempat lain. Pakcik dah pijak tanah tu tapi tak beratkan diri sepenuhnya.

"Kemudian pakcik angkat kaki dan tengok bawah kasut tak ada apa-apa. Bila pakcik pijak sekali lagi baru ia meletup dan menyebabkan pergelangan kaki kanan tercabut,” katanya.

Apabila kalangan rakan setugas cuba membantu Yaacob, tetapi dia tidak membenarkannya kerana percaya komunis berada di sebalik bukit yang bersedia untuk menyerang hendap ketika mereka berkumpul.

Ketika itu Yaacob terpaksa merangkak untuk mencari perlindungan sementara waktu sebelum dibantu rakannya.

“Saya diusung untuk dibawa keluar dari hutan. Masa tu rasa terlalu mengantuk dan dahaga tetapi tak boleh tidur dan minum air. Ia boleh menyebabkan darah cair dan bahayakan nyawa.

“Saya cuma ambil tanah dan makan untuk elakkan mengantuk, kemudian kemam air saja untuk hilangkan dahaga.

"Pakcik ditempatkan di hospital di Ipoh selama 60 hari,” ujar bapa yang mempunyai empat anak ketika itu.

Tangkap komunis

Sebelum kehilangan kakinya, Yaacob pernah menangkap komunis dalam Ops Indera pada 1973. Operasi itu bertujuan untuk  untuk mengesan Mat Indera di Pahang.

Sewaktu pasukan Yaacob menjalankan operasi di Sungai Ruan, Pahang, mereka mengesan seorang lelaki Cina sedang menoreh getah di estet yang tidak dibenarkan.

Tatkala mereka dekati dan menyapa lelaki itu, tapi dia berpura-pura bisu.

“Pegawai kemudian panggil saya untuk uruskan lelaki itu. saya cuba buat isyarat untuk berkomunikasi dengannya tetapi gagal. Akhirnya saya tunjuk sesuatu di langit dan dia pandang atas.

"Ketika itulah saya tumbuk perutnya dan dia meraung bersuara. Betul tekaan saya, dia pura-pura bisu. Dia akhirnya mengaku sebagai penjaga stor makanan untuk komunis,” katanya.

Selain itu, Yaacob bersama pasukannya juga pernah menangkap tiga komunis di Sarawak.

Selepas kejadian yang meragut kesempurnaannya itu, Yaacob ditugaskan sebagai anggota polis biasa dan tidak lagi bertugas sebagai PPH.

Bagaimanapun sehingga kini dia belum pernah menerima sebarang penghargaan atau pingat di atas pengorbanan yang dilakukan.

“Pernah ada panggilan dari Bukit Aman yang tanya sama ada anggota di Kota Bharu yang kena jerangkap samar, tapi mereka jawab tak ada.

“Rakan lain di Kuantan berasa hairan apabila saya tak dapat imbuhan, pingat atau keistimewaan di atas pengorbanan demi keselamatan negara.

"Tapi bagi saya, tak apalah mungkin tak ada rezeki walaupun jauh di sudut hati, saya agak terkilan,” katanya sayu.

0 comments:

Post a Comment