Pengikut bekas al-Arqam menunjukkan dokumen pengisytiharan taubat yang ditandatangani mereka, semalam. - FOTO : ROSLI TALIB
SHAH ALAM – Balu pengasas al-Arqam, Hatijah Am atau dikenali sebagai Ummu Jah berjanji akan memulangkan kembali dana rumah amal anak yatim yang dipercayai diseleweng selama ini.
Ummu Jah yang juga Pengerusi Eksekutif Global Ikhwan Sdn Bhd berkata, proses memulangkan semula dana terbabit sedang diuruskan pihaknya.
“Urusan-urusan ke arah itu (pemulangan dana) sedang diproses sebab itu penjenamaan semula bagi yayasan supaya perkara itu tidak berulang.
“Yang mana boleh dipulangkan akan dipulangkan. Insya-ALLAH semua sedang dalam proses,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Istitabah Pengikut Kumpulan al-Arqam di Hotel Concorde di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai RM4 juta kutipan dana anak yatim dari 83 rumah amal kelolaan GISB yang didakwa diselewengkan sejak 2010.
Pada 19 Ogos lalu, bekas pengikut GISB membuat laporan polis berhubung salah laku dan penyelewengan Ummu Jah dalam pengagihan dana rumah amal anak yatim kelolaan syarikat berkenaan.
Ummu Jah kemudian ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Anti Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan berkaitan kes penyelewengan dana rumah amal anak yatim.
Ummu Jah juga menjelaskan bahawa pihaknya sudah memberitahu secara dasarnya kepada semua yang dikatakan di kuarantin selama ini.
Menurutnya, bagaimanapun, terdapat segelintir yang belum selesai kerana dikatakan menghadapi masalah hubungan suami isteri dan tidak berkait dengan ajaran Aurad Muhammadiah.
“Secara dasarnya semua sudah diberitahu tetapi mereka ada masalah suami isteri. Kalau yang belum itu mereka ada masalah semua isteri. Bukan masalah jemaah lagi. Itu peribadi dia,” katanya.
Sebelum ini, sebuah media arus perdana melaporkan, ahli al-Arqam di kuarantin di dalam dan luar negara jika didapati belot terhadap kumpulan haram itu, selain untuk meningkatkan ketaatan mereka kepada kepemimpinan Ummu Jah.
Dalam tempoh kuarantin, mereka tidak dibenarkan berjumpa dengan ahli keluarga, termasuk suami atau isteri, anak atau kenalan.
Ummu Jah juga berjanji akan memastikan tiada lagi amalan-amalan sesat akan diamalkan.
Menurutnya, 300 pengarah yang hadir semalam akan memastikan tiada kakitangan terlibat lagi mengamalkan ajaran tersebut.
Dalam pada itu, Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar berkata, beliau yakin taubat dilafazkan oleh Ummu Jah semalam dilakukan penuh ikhlas.
“Saya percaya pengikutnya juga di dalam negara ini dan di mana sahaja akan mematuhinya.
“Bila seseorang bertaubat dengan ikhlas minta ampun dengan ALLAH tak perlu sebut ciri-ciri dosa dilakukan kerana semua kesalahan disedari atau pun tidak akan diampunkan ALLAH,” katanya.
Pengarah Jabatan Agama Islam (Jais), Datuk Marzuki Hussin berkata, pihaknya bersyukur kerana majlis tersebut selesai dijalankan dengan baik.
Marzuki berkata, beliau berpuas hati dengan usaha dijalankan Jais dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta sokongan beberapa pihak lain.
0 comments:
Post a Comment