Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, November 25, 2013

No Comment

KUALA LUMPUR –  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjana pendapatan pelaburan RM10.11 bilion bagi suku tahun ketiga berakhir 30 September 2013 naik 44.00 peratus berbanding dengan RM7.02 bilion pendapatan pelaburan pada suku tahun sama tahun 2012.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini mengenai prestasi pelaburan KWSP yang belum diaudit bagi suku tahun ketiga 2013, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata prestasi ini terutamanya didorong oleh pasaran ekuiti yang lebih teguh di peringkat domestik dan luar negara serta peningkatan ketara dalam jumlah dagangan pada suku tahun ketiga.

“KWSP juga menerima manfaat daripada bayaran dividen yang lebih tinggi daripada syarikat tersenarai ekoran pendapatan yang bertambah baik,” katanya.

Ekuiti terus menjana pendapatan pelaburan yang lebih tinggi pada suku ketiga 2013 berjumlah RM5.71 bilion atau meningkat sebanyak RM3.37 bilion berbanding dengan RM2.34 bilion dalam tempoh sama pada 2012.

Sementara itu, pendapatan pelaburan dijana daripada Hartanah dan infrastruktur melonjak daripada RM54.62 juta pada suku ketiga 2012 kepada RM429.16 juta pada suku ketiga 2013, meneruskan pertumbuhan kukuh sejak suku pertama 2013.

Pendapatan lebih tinggi daripada Ekuiti membantu mengimbangi penurunan pendapatan Pinjaman dan Bon berjumlah RM2.28 bilion, lebih rendah berbanding RM3.06 bilion pada suku ketiga 2012.

Ini menunjukkan penurunan keseluruhan dalam hasil aset matang yang dilaburkan semula dan pendapatan lebih tinggi diperoleh pada suku ketiga 2012 juga disebabkan transaksi pasaran modal one-off yang tidak berulang pada suku ketiga 2013.
Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf pada suku ketiga 2013 mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM1.55 bilion, menunjukkan peningkatan nominal 0.18 peratus berbanding dengan suku ketiga 2012, manakala Instrumen Pasaran Wang menyumbang pendapatan sebanyak RM145.23 juta pada suku ketiga 2013.

“KWSP terus mempelbagaikan pelaburan dalam pasaran, sektor dan kelas aset secara menyeluruh bagi memberikan pulangan optimum yang mampan dalam jangka panjang. Pelaburan luar negara KWSP menawarkan pulangan stabil dalam jangka panjang bersesuaian dengan selera risiko-pulangan KWSP sebagai dana persaraan.

“KWSP juga boleh mencari peluang dan mengurangkan risiko daripada pergerakan pasaran yang tidak seimbang seperti ekonomi yang bertambah baik di negara maju dan penjualan mata wang di pasaran baru muncul,” katanya.

Setakat suku ketiga 2013, jumlah pendedahan KWSP di luar negara ialah 20.39 peratus daripada jumlah aset pelaburan berdasarkan nilai buku, mencatatkan peningkatan daripada 18.97 peratus pada S2 2013.

Pada suku tahun dikaji, tambahan USD2.50 bilion pelaburan luar negara telah dibuat dan daripada jumlah tersebut, sebanyak USD2.25 bilion telah disalurkan kepada mandat ekuiti global dan bakinya dilaburkan dalam bon, infrastruktur dan ekuiti persendirian global.

Pada suku tahun yang sama, KWSP juga menyuntik tambahan RM1 bilion untuk mandat pendapatan tetap domestik.

Shahril Ridza berkata, setakat ini, lebih satu pertiga daripada jumlah aset pelaburan KWSP adalah patuh syariah.

“Pertumbuhan aset kewangan Islam di peringkat global telah memberikan peluang bagi KWSP untuk mengembangkan lagi pelaburan dalam sektor ini. Ini adalah selaras dengan program diversifikasi KWSP untuk terus mengimbangkan portfolio KWSP berdasarkan profil risiko-pulangan.

“Usaha KWSP dalam mencorakkan industri kewangan Islam telah membolehkan KWSP dianugerahkan sebagai Penyedia Penyelesaian Institusi Terbaik oleh Tinjauan Pelabur Islam 2013 oleh Islamic Finance News (IFN),” katanya.

Setakat 30 September 2013, aset pelaburan KWSP meningkat sebanyak RM57.85 bilion kepada RM568.04 bilion daripada RM510.19 bilion pada suku ketiga 2012.

Jumlah caruman yang diterima pada suku ketiga 2013 berjumlah RM12.76 bilion berbanding RM8.85 bilion jumlah pengeluaran, menghasilkan aliran masuk dana bersih sebanyak RM3.91 bilion pada suku tahun dikaji.

“Walaupun terdapat tanda-tanda ekonomi global beransur pulih, KWSP terus berhati-hati kerana pemulihan tersebut adalah lemah disebabkan risiko ekonomi dan polisi semasa di Amerika Syarikat, Eropah dan China.

“Pengumuman Bajet 2014 baru-baru ini adalah positif untuk ekonomi dan kedudukan fiskal Malaysia kerana ia jelas menetapkan agenda untuk menyusun semula subsidi dan cukai bagi faedah berstruktur dan daya saing dalam jangka panjang.

“KWSP akan meneruskan polisi yang menyasarkan pulangan sebenar melalui alokasi aset dan strategi pelaburan yang berhemah,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment