KUALA TERENGGANU – Seorang warga emas yang dalam perjalanan ke klinik cedera parah selepas motosikal yang ditungganginya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta, berhampiran sebuah stesen minyak di Wakaf Tembesu di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa iaitu Mohamad Sulung, 61, cedera di kepala, selain patah kaki.
Pegawai Operasi Pasukan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Terengganu, Othman Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 9.15 pagi, sebelum bergegas ke tempat kejadian.
“Daripada maklumat awal yang diperoleh, mangsa dikatakan menukar haluan ke kanan sedikit kerana ingin mengelak lopak air, namun pada masa sama, ada sebuah kereta datang dari arah Batu Enam ke Kota Bharu.
“Kereta tersebut yang dipandu seorang wanita dikatakan sempat membrekkan kenderaannya, tetapi berlanggar dengan motosikal mangsa, menyebabkan mangsa terpelanting dan mengalami kecederaan,” katanya.
Mangsa yang mengalami cedera parah di kepala dan patah kaki kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Difahamkan, satu laporan polis sudah dibuat kira-kira jam 1 petang semalam oleh pemandu kereta berkenaan. – Sinar Harian Online
0 comments:
Post a Comment