TOKYO – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggariskan enam bidang yang perlu diberi tumpuan dalam gelombang kedua Dasar Pandang Ke Timur (LEP 2.0) iaitu daripada teknologi canggih hingga bidang berkaitan warga emas.
Mengenai teknologi canggih, Perdana Menteri berkata ia adalah mengenai kerjasama ekonomi bagi meningkatkan aliran penyelidikan dan inovasi dari institusi Jepun, dalam pelbagai perkara daripada nanoteknologi kepada biologi dan teknologi alam sekitar.
Menggariskan bidang kedua iaitu pembangunan kemahiran berteknologi tinggi, Najib, yang berada di sini untuk lawatan kerja sempena Sidang Kemuncak Peringatan 40 Tahun Penubuhan Hubungan Dialog Asean-Jepun, berkata ia mengenai pembangunan kemahiran berasaskan pengetahuan baharu untuk mengiringi teknologi baharu.
Bercakap mengenai bidang lain iaitu pembangunan perkhidmatan mewah, beliau berkata ia adalah mengenai membangunkan pengetahuan Jepun dalam perkhidmatan seperti hospitaliti dan penjagaan kesihatan dan membuka bidang kerjasama baharu.
“Gelombang kedua Dasar Pandang Ke Timur adalah mengenai industri masa depan: berteknologi tinggi dan rendah karbon,” katanya dalam ucaptama beliau di pembukaan rasmi Persidangan ke-32 Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (Majeca) dan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (Jameca) di Imperial Hotel di sini.
Bidang lain yang digariskan Perdana Penteri ialah berhubung soal mengurus sistem ekologi dengan selamat, dipercayai dan tenaga yang boleh diperbaharui.
Di sini, beliau berkata, untuk menangani kebergantungan ke atas bahan api fosil dan menambah baik pengurusan bekalan air merupakan kebimbangan semasa dan kepakaran tenaga lestari Jepun boleh dimanfaatkan untuk menangani masalah-masalah ini.
Najib berkata satu lagi bidang ialah memodenkan perusahaan kecil dan sederhana yang membentuk sebahagian besar daripada syarikat-syarikat di Malaysia.
Ini boleh dilakukan melalui pemindahan teknologi dan input pengurusan, menggalakkan hubungan baharu antara PKS dengan potensi pertumbuhan tinggi bagi membolehkan mereka meningkatkan rantaian nilai.
Menyentuh mengenai warga emas, beliau berkata ini adalah mengenai kajian dan melaksanakan program-program untuk mengurangkan cabaran mendatang bagi penduduk yang semakin tua dan memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan dan gaya hidup untuk warga emas.
Sambil berkata bahawa Malaysia mendapat manfaat yang tidak terhitung daripada Dasar Pandang Ke Timur itu, Najib berkata negara telah mewujudkan struktur yang diperlukan untuk melaksanakan LEP2.0 dengan jawatankuasa peringkat menteri yang diketuai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
“Tetapi walaupun kerajaan kita boleh merancang masa depan bagi Dasar Pandang Ke Timur yang baharu, ia adalah tugas sektor swasta, supaya berupaya diwakili majlis-majlis perniagaan dan persatuan-persatuan ekonomi, yang akan memacu kejayaan,” katanya.
Dalam ucapannya, Perdana menteri berkata ahli-ahli Jameca-Majeca memainkan peranan penting memajukan hubungan dua hala dalam tempoh-tempoh awal pelaksanaan Dasar Pandang Ke Timur.
Sambil menyifatkan Malaysia dan Jepun sebagai ‘dua rakan lama’ yang mana persahabatan semakin mendalam dengan perubahan zaman, Najib berkata ia merupakan hubungan yang berteraskan kepada kerjasama ekonomi.
Dasar Pandang Ke Timur diperkenalkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1982.
Dalam pertemuan Najib dengan rakan sejawatannya Shinzo Abe pada Julai tahun ini di Malaysia, kedua-dua negara bersetuju mengukuhkan lagi hubungan dua hala melalui gelombang kedua Dasar Pandang Ke Timur.
Najib telah berkata bahawa gelombang kedua tidak harus terhad hanya kepada latihan dan pendidikan tetapi juga perlu lebih progresif dengan tumpuan kepada keutamaan dan perubahan struktur ekonomi semasa. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment