Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, December 13, 2013

No Comment

Sistem pemerintahan beraja di Malaysia perlu dipertahankan supaya terus sesuai dengan kehendak dan kemahuan rakyat sebelum ia dianggap ketinggalan zaman dan menyebabkan rakyat bangkit dan memberontak menolaknya.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Zaid Ahmad berkata tidak ada satu institusi pun boleh dipertahankan jika ianya tidak memenuhi kehendak rakyat dan memberikan keadilan kepada rakyat.

“Di Malaysia, sekiranya sistem raja yang kita ada ini tidak berubah mengikut perubahan masa dia akan ketinggalan zaman dan mungkin rakyat pada masa itu tidak menerima lagi, perkara seperti itu.

“Kalau kita tengok, perubahan kerajaan dari sistem raja kepada republik ada kemungkinan berlaku kerana sistem berkenaan tidak dapat berkembang bersama rakyat sehingga rakyat tidak berpuas hati, apabila rakyat tidak berpuas hati maka sukar untuk kita pertahankan institusi itu apabila ada kebangkitan dari rakyat,” katanya.


Menurut Dr Zaid yang mendalami bidang falsafah dan tamadun, wujudnya sesuatu sistem sama ada monarki ataupun republik ia tidak akan menjadi batu penghalang kepada sesebuah negara untuk maju selagi ia selari dengan kepesatan pembangunan negara berkenaan.

“Memang banyak negara yang telah maju sekarang ini dan mencapai tahap kemajuan yang diibaratkan juara ketamadunan moden, sebahagiannya masih ada lagi institusi raja, contoh paling dekat dengan kita (Malaysia) ialah Britain yang menggunakan sistem Ratu.

“Saya tidak nampak ada pertentangan di antara wujudnya institusi raja dengan pencapaian ketamadunan negara, manusia boleh mencapai kemajuan dan ketamadunan pada tahap yang tinggi dengan mengekalkan institusi tradisi iaitu institusi beraja.

“Apabila berlakunya perubahan dalam politik negara, maka sudah tentulah institusi itu perlu dinamik dan berkembang serta berubah bersama-sama dengan perubahan mentaliti dan juga citarasa rakyat, saya merasakan sistem Ratu di Britain itu boleh kekal kerana mereka berjaya menyesuaikan sistem itu dengan hasrat dan kehendak rakyat moden pada masa ini,” katanya.

Dr Zaid berkata ketamadunan manusia seluruh dunia bermula dari wujudnya pemerintahan seorang raja atau dahulu dikenali sebagai Empayar seperti di China, Arab dan Eropah.

Mengulas kejatuhan empayar Parsi atau Iran selepas Raja Shah Mohamad digulingkan dalam perjuangan revolusi Iran yang dipimpin Ayatollah Khomeini, empayar itu jatuh kerana gagal mengikut kehendak rakyat dan ia diuruskan dalam keadaan lemah serta banyak penyelewengan.

“Institusi yang boleh kekal ialah institusi yang dapat berkembang bersama-sama dengan rakyat, kalau hari ini kita berdepan dengan generasi muda contohnya, kita kena juga berbuat dan bertindak berasaskan kepada sistem nilai yang ada pada masa ini dan menjawab persoalan-persoalan masyarakat,” kata Dr Zaid.

Biarpun terdapat cubaan nakal pihak tertentu menyuarakan rasa tidak puas hati dengan sistem Raja Berperlembagaan yang digunakan di Malaysia, beliau yakin majoriti rakyat Malaysia masih mengakui sistem berkenaan masih sesuai dengan perjalanan negara pada kini.

Dr Zaid berkata beliau juga percaya golongan majoriti rakyat itu masih kuat mempertahankan dan mendukungnya sebagai simbol kedaulatan negara ini.

“Kalau ada rakyat Malaysia yang mungkin tidak begitu senang dengan sistem beraja ini, kita tidak akan dapat hendak menggembirakan hati semua orang, tetapi saya yakin bahawa majoriti kita (rakyat) mendukung sistem yang kita ada pada masa ini.

“Rakyat juga mahu melihat ia berperanan dalam konteks menjaga kepentingan yang tertentu yang diperuntukkan di bawah kuara Raja-Raja Melayu itu, dan menjadi payung serta pelindung dan simbol kepada kedaulatan negara,” katanya.


Oleh : IBNU KHUSAIRY ARIS, Video dan Foto : RIZA RAZAK

0 comments:

Post a Comment