KOTA TINGGI – Prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Penerangan dalam menghadapi bencana di negara ini akan diteliti segera agar koordinasi dan penyampaian maklumat dapat dilaksana dengan lebih berkesan.
Timbalan Ketua Setiausaha 1 Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Dr Rothiah Omar berkata, perbincangan mengenainya akan diadakan Isnin ini sebelum dibawa kepada pengarah Jabatan Penerangan negeri untuk diambil tindakan.
“Kita mengambil berat teguran Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengenai keperluan SOP di peringkat Jabatan Penerangan dalam menghadapi bencana.
“Semasa pilihan raya kita dapat pujian dapat sediakan pusat media tetapi ketika bencana kita tidak sediakan. Sehubungan itu, kita akan menyediakan SOP dengan kerjasama Jabatan Penerangan negeri dan perlu dimasukkan dalam Fail Meja setiap warga kerja jabatan,” katanya.
Rothiah berkata, demikian ketika berucap dalam majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Penerangan bersempena Hari Penerangan dan Inovasi 2013, di Desaru, hari ini. Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman.
Menurutnya antara yang terkandung dalam SOP itu ialah penubuhan pusat media di Pejabat Penerangan daerah yang berperanan menyediakan maklumat terkini berkaitan bencana yang dihadapi.
Beliau berkata, penyediaan pusat media bukan sahaja memudahkan wakil-wakil media menerima dan menyalur informasi bencana dengan cepat dan tepat, tetapi juga dapat menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam membantu mangsa.
Sementara itu, Rothiah turut mengingatkan warga kerja jabatan berkenaan supaya sentiasa memantapkan diri bagi mengelakkan berada di takuk lama.
Beliau berkata, selaras dengan era kini, pegawai dan anggota jabatan itu bukan sahaja perlu menguasai kemahiran bahasa tetapi juga kecekapan penggunaan teknologi terkini.
“Peranan Jabatan Penerangan tidak boleh di takuk lama kerana masyarakat hari ini lebih bijak membuat pelbagai tafsiran. Inilah cabaran kita dan kita kena bijak menanganinya,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment