Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, December 29, 2013

No Comment

KUALA LUMPUR – Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rembau, Badrul Hisham Shaharin akan menghantar notis saman RM100 juta ke atas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dan pihak media yang membuat laporan tentang empat badan bukan kerajaan (NGO) menjadi dalang perhimpunan haram untuk menggulingkan kerajaan semalam.

Beliau yang lebih dikenali Chegu Bard berkata, beliau mahu menyaman Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur dan wartawan media terlibat kerana Amar Singh membuat fitnah terhadap NGO terbabit melalui satu sidang media semalam manakala media terlibat pula menjadi penyambung kepada fitnah itu melalui laporan mereka.

“Saya rasa terkejut dengan tuduhan Amar Singh yang mengaitkan saya dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan tuduhan menganjurkan himpunan untuk mengulingkan kerajaan pada 31 Disember nanti. Tuduhan tersebut lebih jijik konon wujud perancangan mengebom dan sebagainya.

“Saya dengan ini menafikan dakyah Amar Singh tersebut dan memohon semua pihak bertenang. Saya mendesak fitnah ini ditarik balik dan pihak media serta Amar Singh meminta maaf. Saya akan memulakan proses saman sebanyak RM100 juta,” tegasnya melalui satu kenyataan media hari ini.

Beberapa media semalam melaporkan Amir Singh mendedahkan hasil risikan polis yang mendapati empat NGO propembangkang menjadi dalang utama perhimpunan haram untuk menggulingkan kerajaan pada sambutan ambang tahun baharu di Dataran Merdeka.

Empat pertubuhan tersebut adalah SAMM, Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Jingga 13, dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang turut didakwa merancang menimbulkan kekecohan dengan menggunakan senjata berbahaya termasuk bom tangan dalam perhimpunan itu.

Chegu Bard bagaimanapun mendakwa, cadangan untuk mengadakan perhimpunan pada 31 Disember ini sebenarnya bermula dalam Facebook apabila ramai pihak memprotes kenaikan kos sara hidup menyebabkan SAMM dan beberapa NGO lain menyambut cadangan itu dengan menyusun promosi untuk menjadikan ia satu kenyataan.

Dakwanya, satu seketeriat turut ditubuhkan bukan sebagai penganjur tetapi selaku penyelengara untuk melicinkan pelbagai urusan bagi menjadikan perhimpunan itu satu kenyataan.

Justeru, beliau menyifatkan tuduhan Amar Singh itu sekadar memperlihatkan beliau sebagai seorang pegawai kanan polis yang bodoh dengan membuat lawak jenaka apabila menyatakan perhimpunan itu yang cuma akan dihadiri ratusan orang sahaja mahu menggulingkan kerajaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya menyertai perhimpunan tersebut dengan aman dan menangkap mana-mana pihak yang bersenjata atau membuat provokasi menghasut keganasan pada perhimpunan itu.

“Polis sudah tentu tidak mahu menandakan permulaan tahun baru ini dengan titik hitam hubungan polis dengan rakyat. Hanya bersenjatakan banner, poster dan laungan kita jumpa di Dataran Merdeka 31 Disember ini,” katanya.

0 comments:

Post a Comment