KUALA LUMPUR – DAP mencadangkan bekas pengerusi bersama Bersih 2.0, Datuk S.Ambiga membentuk satu gerakan baharu kononnya bagi menyelamatkan Malaysia daripada rancangan jahat pihak tertentu mewujudkan ancaman perkauman dan keagamaan di negara ini.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa, gerakan sivil tersebut boleh menjadi satu komitmen patriotik oleh Ambiga untuk menggerakkan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik ke arah perpaduan dan keharmonian.
“Saya menyarankan agar Datuk S.Ambiga yang telah melepaskan jawatan pengerusi bersama Bersih 2.0 menerajui gerakan masyarakat sivil baru untuk menyelamatkan Malaysia daripada rencana jahat pihak yang mahu masyarakat Malaysia berpecah-belah mengikut garis kaum dan agama,” dakwanya melalui satu kenyataan hari ini.
Kit Siang dalam pada itu menyeru golongan berfahaman sederhana dalam pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) untuk bersatu dan membasmi golongan ekstremis yang hendak menimbulkan kekacauan perkauman dan keagamaan.
Dakwanya, sejak sembilan bulan lalu iaitu selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), negara dilanda bermacam-macam krisis nasional yang tidak pernah dialami selama ini termasuk krisis perpaduan masyarakat yang menyaksikan jurang antara kaum dan agama semakin melebar.
Beliau mendakwa, perkara itu berikutan kempen secara sistematik dan berterusan oleh kelompok tidak bertangunggjawab yang sanggup menjejaskan kestabilan negara dengan mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan bagi mewujudkan satu lagi rusuhan kaum 13 Mei demi kepentingan mereka.
“Saya percaya sebahagian besar rakyat Malaysia, sama ada dalam DAP, Partik Keadilan Rakyat (PKR), PAS, UMNO, MCA, Gerakan, MIC dan parti-parti lain tidak mahu rusuhan 13 Mei berulang,” katanya.
0 comments:
Post a Comment