KUALA LUMPUR – CIMB Group, penyedia perkhidmatan kewangan kedua terbesar Malaysia, berjaya memasangkan sistem perbankan terasnya yang baharu dalam negara bagi menaik taraf kapasiti dan tahap perkhidmatan, selain mengharmonikan dengan sistem operasi di rantau ini.
Proses pemasangan secara besar-besaran yang melibatkan pemindahan data lebih lapan juta pelanggan, dilaksanakan semasa cuti Tahun Baru China yang lepas.
“Tidak ada masa lain yang lebih sesuai untuk melakukan migrasi sistem. Kami memilih melakukannya semasa cuti perayaan memandangkan perangkaan menunjukkan transaksi dalam tempoh ini paling rendah dan oleh itu tidak banyak menjejaskan pelanggan kami.
“Kami berterima kasih kepada pelanggan atas kesabaran mereka berikutan semua mesin ATM dan CIMB clicks tidak beroperasi selama dua hari,” kata Ketua Eksekutif Kumpulan Datuk Seri Nazir Razak dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Rancangan melaksanakan projek sistem perbankan teras baharu yang melibatkan peruntukan RM1.1 bilion di Malaysia, Singapura dan Thailand selama tiga tahun itu, berjalan lancar selepas proses pemilihan sistem dan reka bentuk projek yang lama.
Projek itu ’1Platform, bermatlamat memasang rangka bina operasi dan IT tunggal serantau untuk semua entiti CIMB.
CIMB ialah entiti ketiga berjaya melaksanakan 1Platform di luar Singapura dan Thailand yang masing-masing menyelesaikannya pada 2011 dan 2012.
Indonesia memulakan projek fasa pelaksanaan dan merancang menyelesaikannya pada akhir 2015. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment