MELAKA – Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka, Datuk Khamis Abas berkata, istilah ‘harta karun’ tidak sesuai digunakan bagi menjelaskan berhubung isu harta di Pulau Nangka kerana ia mempunyai istilah yang khusus berdasarkan Akta Warisan Kebangsaan 2005.
Malah beliau berkata dalam akta tersebut selain harta karun terdapat istilah lain yang boleh diletakkan kepada harta itu antaranya ‘objek bersejarah’, namun beliau menegaskan tiada istilah khusus dapat diletakkan kepada harta di Pulau Nangka pada masa ini kerana ia masih belum ditemui.
“Istilah ini mempunyai spesifikasi khusus yang perlu dipenuhi sesebuah objek itu dan kita kena pastikan objek itu memenuhi spesifikasi ini terlebih dahulu baru boleh beri istilah seperti harta karun atau objek bersejarah.
“Tetapi hingga sekarang harta di pulau itu masih belum ditemui..jika masih belum jumpa (harta itu) bagaimana hendak dikaji untuk menentukan sama ada ia memenuhi spesifikasi itu atau tidak,” katanya kepada Bernama di sini.
Menurut tafsiran dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005, harta karun ialah wang, syiling, emas, perak, saduran, barang kemas bulion, batu berharga atau apa-apa objek bernilai dijumpai tetapi tuan punya tidak diketahui atau tidak dijumpai, namun ia tidak termasuk apa-apa warisan kebudayaan ketara.
Objek bersejarah pula ertinya apa-apa artifak atau objek lain yang padanya terdapat kepentingan keagamaan, tradisional, artistik atau bersejarah ini termasuk manuskrip, syiling, wang kertas, pingat, lencana, lambang kebesaran, jata, panji-panji, senjata atau perisai.
Memberikan contoh menentukan spesifikasi kepentingan sejarah dalam artifak yang ditemui berdasarkan tafsiran objek bersejarah, Khamis berkata artifak itu perlu dikaji dengan mendalam antaranya dengan menghantarnya ke makmal dan Jabatan Warisan Negara.
“Seperti penemuan dua keping artifak (di Pulau Nangka) baru-baru ini kita tidak terus label harta karun atau objek bersejarah, malah saya tidak yakin ia syiling untuk mata wang kerana ia terlalu besar dan nampak seperti medalion (pingat).
“Jadi kita hantar dulu kepada pihak berkenaan untuk dikaji sebelum buat tafsiran atau tindakan berdasarkan akta itu…saya tegaskan biar kita jumpa harta yang sahih benar dahulu, kemudian kita ambil dari situ,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia, Prof Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin berkata harta di Pulau Nangka itu tidak sepatutnya dilabel sebagai harta karun yang bakal menjadi sumber kekayaan kepada sesiapa yang menemuinya.
Ini kerana berdasarkan pengalaman dan penelitian yang dijalankanya, harta di Pulau Nangka itu sekiranya ditemui dipercayai akan mempunyai nilai sejarah yang tinggi terutamanya dalam perkara berkaitan dengan zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Antara teori yang menyokong pendapat beliau ialah Pulau Nangka merupakan satu daripada tempat simpanan rizab kerajaan Kesultanan Melayu Melaka antaranya berbentuk syiling emas zaman tersebut, selain dua lagi tempat iaitu Bukit St Paul dan Pulau Besar.
“Harta itu jika ditemui ialah artifak bersejarah berharga tetapi generasi sekarang kurang menghargai objek yang mempunyai nilai sejarah, ramai lihat dari aspek kebendaan kerana inilah bila timbul cerita harta karun itu tidak ramai yang lihat (harta itu) sebagai objek nilai sejarah,” katanya.
Ditanya apa yang sepatutnya dilakukan sekiranya harta itu ditemui, beliau berkata ia perlu diserahkan kepada Pegawai Daerah terbabit berdasarkan prosedur dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005.
Beliau berkata Pegawai Daerah akan mengambil tindakan seperti melaporkan kepada pihak berkuasa seterusnya menentukan spesifikasi harta itu bagi mengenal pasti harta itu adalah harta karun, objek bersejarah atau istilah lain dalam akta tersebut.
“Setiap satu jenis atau istilah harta ini mempunyai cara tertentu dalam akta itu untuk diuruskan, ini termasuk pemberian ganjaran, faktor lesen pencarian juga memainkan peranan tentang berapa banyak ganjaran patut diberikan,” katanya.
Sumber: Bernama
0 comments:
Post a Comment