Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, May 29, 2014

No Comment

MARANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila diberi kepercayaan oleh beberapa negara luar termasuk dari rantau Timur Tengah dan Asia Timur untuk mengendalikan kursus profesional dan taktikal memadam kebakaran di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Amer Yusof berkata, kursus pengurusan dan profesional yang melibatkan pegawai kanan bomba akan diadakan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Kuala Kubu Baharu, Selangor manakala kursus peringkat operator taktikal diadakan di ABPM Wakaf Tapai, Terengganu.

Beliau berkata, bagi kumpulan pertama, seramai 27 pegawai kanan syarikat minyak dan gas dari Dubai dijangka mengikuti kursus dua minggu di ABPM Kuala Kubu Bharu selepas Aidilfitri nanti.

“Kesemua mereka yang mengikuti kursus itu akan diberi pendedahan dan latihan kebombaan yang menumpukan kepada empat disiplin iaitu kursus memadam kebakaran minyak dan gas, memadam kebakaran bangunan, mencari dan menyelamat selain kursus penyelamatan di air,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan Siri 3/2013 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai,hari ini.

Amer berkata, selepas tamat kursus itu, tahap keberkesanan pelatih akan dinilai dan jika positif, Dubai akan menghantar 1,000 pelatih setahun untuk menjalani kursus sama di Malaysia.

Penghantaran pelatih dari negara berkenaan dikendalikan oleh sebuah agensi konsultansi milik syarikat minyak dan gas Arab Saudi yang beroperasi di Dubai.

Selain itu, JBPM menjangka 25 pelatih Bangladesh yang berkerja di syarikat yang berpangkalan di New Zealand dihantar untuk mengikuti latihan kebombaan di ABPM Wakaf Tapai dekat sini.

Menurutnya, minat pelatih luar negara untuk mengikuti kursus kebombaan di Malaysia didorong maklumat menerusi internet selain keupayaan di segi kelengkapan dan kepakaran yang terdapat di akademi bomba di negara ini.

Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang melibatkan 100 negara juga menyaksikan 30 daripada negara berkenaan termasuk Amerika Latin, Afrika, India Barat, ASEAN dan Asia berminat menghantar pelatih mendalami kursus kebombaan di Malaysia.

Selain itu, Amer berkata JBPM akan menambah kira-kira 100 buah lagi jentera tangki air secara berperingkat di seluruh negara dalam usaha meningkatkan kerja memadamkan kebakaran dan menyelamat.

Beliau berkata setiap jentera baharu itu, yang berharga RM1.4 juta, mempunyai kapasiti 20,000 liter air berbanding jentera sedia ada yang berkapasiti 10,000 liter air.

“Kini kita ada sebanyak 30 jentera tangki air (kapasiti 20,000 liter), ini bermakna tahun ini kita akan mempunyai kesemua 130 jentera tangki air dengan penambahan 100 buah lagi secara berperingkat,” katanya.

Menurutnya dalam tempoh Januari hingga April tahun ini, JBPM dapat menyelamatkan harta benda bernilai RM16 bilion daripada kebakaran.

JBPM juga menerima 43,254 panggilan dan daripada jumlah itu, sebanyak 33,038 adalah panggilan kes kebakaran diikuti 9,303 panggilan penyelamatan, 432 panggilan tugas-tugas khas selain 481 panggilan palsu.

Amer berkata, JBPM dengan kekuatan 13,000 pegawai dan anggota di seluruh negara sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi segala kemungkinan pada musim kemarau khususnya fenomena El-Nino.

Sumber: Bernama

0 comments:

Post a Comment