Walaupun usianya menjangkau 68 tahun, Sapie Jusof masih setia membuat wau. Gambar FAZRY ISMAIL |
KOTA BHARU – Antara wau dan layang-layang, mungkin lebih ramai generasi muda khususnya kanak-kanak yang mengenali layang-layang.
Kepelbagaian bentuk layang-layang yang mewarna-warni dan mudah didapati menyebabkan wau yang pernah suatu ketika popular semakin dilupai. Malah, ada kanak-kanak di negara ini tidak mengenali wau kerana tidak pernah melihatnya walaupun sekali.
Perkara itu diakui oleh pembuat wau terkenal di Kelantan, Sapie Jusof, 68 tahun, yang berasal dari Kampung Kijai.
Tokoh Kraf Negara itu berkata, wau semakin dilupai kerana penggunaan wau dalam permainan layang-layang semakin dipinggirkan, sebaliknya
hebat mempromosikan layang-layang buatan China.
Sedih dengan situasi itu, beliau yang mahu dipanggil pakcik Sapie percaya lama-kelamaan warisan permainan wau dan pembuatan wau akan lenyap begitu sahaja.
Berpengalaman lebih 46 tahun membuat wau, pakcik Sapie berkata, industri wau masih nasib baik kerana wujud lagi negeri Kelantan dan sebuah tempat bernama Pasir Gudang di Johor.
“Jika kedua-dua ini tiada, memang wau tidak wujud lagi di Malaysia,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pameran Minggu Saham Amanah
Malaysia, baru-baru ini. Beliau dibawa khas dari kampungnya oleh Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) bagi memperlihatkan pembuatan dan keseniaan wau sepanjang pameran itu.
Selesa dengan tanjak dan samping ketika membuat wau, pakcik Sapie berkata, pakaian itu akan memberinya inspirasi dan menaikkan semangatnya untuk
berkarya dalam menghasilkan wau yang lebih cantik dan kukuh.
Ceritanya, beliau mempelajari pembuatan wau semasa remaja kerana terlalu minat dengan keindahan keseniaan wau itu.
Meskipun layak digelar ‘khazanah negara’ dalam pembuatan wau, namun pakcik Sapie dengan rendah hati mengakui dirinya sentiasa belajar untuk menghasilkan wau terbaik kepada para pelanggannya.
Memiliki pelanggan sendiri, beliau menghasilkan lebih 100 jenis wau setiap bulan, daripada harga RM20 sehinggalah wau yang dijual pada harga berdasarkan
saiz dan rekaan yang dimahukan pelanggan.
Pakcik Sapie mengaku beruntung kerana minatnya turut dikongsi bersama isterinya, Wan Embong Wan Deraman, 45, yang menjadi pencari buluh, memotong
dan meraup buluh sebelum beliau menjadikan rangka wau.
Sambil tangannya pantas membentuk kertas jagung pada rangka wau, pakcik Sapie memberitahu, beliau cukup kesal dan sedih mengapa ada dalam kalangan masyarakat negara ini yang beria-ia mempromosi layang-layang China berbanding wau.
“Berbanding layang-layang dan wau, kehebatannya masih pada wau. Dari segi harga dan jangka hayat, wau lebih murah dan lebih lama digunakan.
“Kalau tidak percaya, naikkan (terbang) wau dan layang-layang China, bila wau dan layang-layang sudah tinggi dan pacakkan talinya ke dalam air pada
kedudukan 90 darjah,
“Tengok, antara wau dan layang-layang mana yang masih terbang lurus dalam jangka waktu yang lama. Sudah tentu wau. Dah tu, kenapa masih membiarkan
generasi muda lebih mengenali layang-layang China?,” soalnya kepada penulis dengan nada yang cukup serius.
Tambahnya, jika gagal mempromosi wau, janganlah pula membawa masuk layang-layang China, yang dihipotesisnya sebagai percubaan untuk membunuh
permainan tradisional dan industri wau.
Pakcik Sapie yang diangkat sebagai aset bernilai oleh Jabatan Kraftangan Malaysia secara sinis berkata, masih ramai pembuat wau di Kelantan yang masih
mencari makan dengan menghasilkan wau namun masih belum kaya sehingga boleh menghasilkan kilang wau seperti di negara China.
“Jadi hargai kesenian sendiri, kembalikan kegemilangannya,” ujarnya pendek.
Pakcik Sapie memberitahu, menerbangkan wau bukan sekadar satu permainan semata-mata tetapi menguji minda, kesabaran dan keyakinan pemain. Ia adalah
perkara-perkara asas yang mungkin tidak diketahui oleh generasi muda.
Selain itu, permainan wau adalah satu nikmat daripada Allah kepada manusia - dengan adanya angin, cuaca yang nyaman baru permainan ini boleh dimainkan.
Permainan wau bukan permainan semata-mata bagi pakcik Sapie. Ia adalah satu pembentukan jati diri serta hubungan manusia dengan Allah dan alam.
0 comments:
Post a Comment