KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan lawatan kerja ke Myanmar dan Vietnam bermula 12 hingga 16 Mei ini.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui satu kenyataan media memberitahu, Ahmad Zahid akan berada di Myanmar dari 12 hingga 13 Mei ini dan Vietnam pada 14 hingga 16 Mei 2014.
“Menteri Dalam Negeri turut diiringi oleh pegawai-pegawai kanan KDN.
“Beliau dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas rakan sejawat Menteri Dalam Negeri Myanmar, T.Y.T. Ko Ko dan Menteri Buruh, Penggajian dan Keselamatan Sosial Myanmar, T.Y.T. U Aye Myint,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, lawatan kerja itu bertujuan mempertingkatkan kerjasama keselamatan antara Malaysia dan kedua negara terutama dalam menangani ancaman jenayah rentas sempadan merangkumi aspek pemerdagangan orang, penyeludupan migran dan keganasan.
Tambah kenyataan itu, Malaysia juga dijangka memuktamadkan Memorandum Persefahaman di Bidang Kerjasama menangani Jenayah Rentas Sempadan dengan Vietnam.
Selain itu, jelas kenyataan tersebut, lawatan KDN itu juga untuk melihat mekanisme bagi mempertingkatkan aspek pengurusan dan kemasukan pekerja-pekerja kedua negara ke Malaysia.
“Lawatan ini adalah merupakan kesinambungan kepada lawatan kerja terdahulu yang telah dilaksanakan oleh Menteri Dalam Negeri ke Bangladesh dan Nepal yang merupakan negara sumber kepada tenaga kerja asing,” kata kenyataan itu.
0 comments:
Post a Comment