WASHINGTON – Majls Amanah Rakyat (Mara) merancang untuk menghantar lebih ramai pelajar ke Amerika Syarikat (AS) melanjutkan pengajian dalam bidang kritikal di peringkat ijazah bagi memacu ekonomi negara, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Kini terdapat kira-kira 3,000 pelajar tajaan Mara di seluruh Eropah dan hanya 700 berada AS, sedang mengikuti pelbagai bidang pengajian termasuk kejuruteraan, sains aktuari dan pengurusan risiko.
Mara mahu membina modal insan dengan menaja lebih banyak pelajar melanjutkan pengajian di peringkat lepasan ijazah dalam bidang kritikal selain aktif terlibat dalam bidang penyelidikan, katanya di sini pada akhir lawatan kerja selama 10 hari ke AS, sebelum berlepas ke London, pada Rabu.
Samasa lawatan itu, Mohd Shafie dan rombongan turut singgah di San Francisco, Boston dan Washington DC.
“Kami mahu menggalakkan pelajar kita untuk berdikari, untuk menjadi kreatif dan bercita-cita untuk menjadi pencipta kerja dan bukan pencari kerja apabila mereka pulang ke tanah air,” katanya menjelaskan usaha transformasi yang dilakukan Mara.
Jika seorang pelajar itu mengikuti ijazah undang-undang, dia harus berfikir untuk membuka firma guaman atau jika pelajar mengikuti ijazah perubatan, dia perlu berfikir untuk membuka klinik, katanya.
Mohd Shafie menggesa pelajar Malaysia di AS untuk membina hubungan rangkaian dengan rakan-rakan antarabangsa yang boleh menyokong usaha mereka sebagai usahawan untuk menceburi pasaran antarabangsa pada masa depan.
“Dunia kini menjadi global-kita memerlukan pemikiran global untuk berjaya,” katanya.
Mohd Shafie turut berpuas hati dengan lebih banyak universiti di Amerika Syarikat yang telah membuka pintu dan menyediakan penginapan untuk pelajar pertukaran Malaysia susulan lawatan Presiden Barack Obama ke Malaysia, baru-baru ini.
Rancangan juga dibuat untuk menghantar pelajar ke AS untuk mengikuti pengajian selama dua tahun di kolej-kolej komuniti dan tambahan dua tahun di universiti.
Rombongan delegasi Mohd Shafie turut melawat San Mateo County Community College di San Francisco, Babson College di Boston dan Mason Enterprise Center, yang dikendalikan George Mason University di Fairfax, Virginia dan Virginia Tech di Virginia.
Menteri itu turut mengambil peluang bertemu dan berdialog dengan pelajar-pelajar Malaysia yang berada di bandar-bandar berkenaan.
Mohd Shafie turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Rahim Abu Bakar, Ketua Pengarah MARA Datuk Ibrahim Ahmad dan Presiden Universiti Kuala Lumpur Prof Datuk Mazliham Su’ud.
Sumber: Bernama

0 comments:
Post a Comment